Hobi mengumpul kad Pokemon, Yu-Gi-Oh! dan Trading Card Game (TCG) semakin popular, malah ada peminat sanggup membelanjakan ratusan hingga ribuan ringgit untuk mendapatkan kad edisi ‘rare’ yang bernilai tinggi. Namun, disebalik keseronokan mengumpul kad, timbul persoalan tentang hukum membeli pek ‘booster’ yang kandungannya tidak diketahui, terutama apabila wujud jurang nilai yang besar antara kad biasa dengan kad ‘rare’.
Menurut penjelasan Dr. Zulkifli al-Bakri, hukum pembelian kad bergantung kepada bentuk transaksi dan tahap ketidakpastian (gharar) yang terlibat. Jika perbezaan nilai kad dalam satu pek tidak terlalu ketara, unsur ketidakpastian kecil, ianya dimaafkan. Namun, apabila pembeli membayar dengan harapan memperoleh kad ‘rare’ yang jauh lebih mahal, sedangkan kad yang diperoleh mungkin bernilai rendah, transaksi tersebut boleh melibatkan ‘gharar fahish’ (ketidakpastian yang besar) dan ‘maisir’ (perjudian). Maka ia dilarang dalam urusan jual beli.
Islam bukan melarang hobi atau aktiviti mengumpul barangan, tetapi mengingatkan umatnya agar tidak terjebak dalam urusan yang berasaskan pertaruhan nasib dan keuntungan semata-mata. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah, ayat 90: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah perbuatan keji daripada perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu berjaya.” Justeru, peminat YU-Gi-Oh! dan TCG atau seumpama dengannya perlu memahami bentuk transaksi yang dilakukan dan tidak membiarkan hobi bertukar menjadi aktiviti mengejar keuntungan melalui nasib semata-mata.








