Home Ajaran Sesat BAHAYA AJARAN SESAT!! BUKAN SAHAJA MENYESATKAN AKIDAH UMAT MALAH MEROSAKKAN KESUCIAN ISLAM...

BAHAYA AJARAN SESAT!! BUKAN SAHAJA MENYESATKAN AKIDAH UMAT MALAH MEROSAKKAN KESUCIAN ISLAM DAN MENGGUGAT KEHARMONIAN NEGARA

1550
0

Negara Malaysia tidak terlepas daripada gejala ajaran sesat yang bukan sahaja boleh mencemarkan kesucian agama Islam, malah pada masa yang sama mampu menggugat keharmonian negara. Sebahagian besar daripada ajaran sesat ini jelas menunjukkan fahaman-fahaman atau amalan-amalan yang bertentangan dengan syariat Islam yang sebenar.

Ajaran sesat merupakan rekaan yang wujud dalam persoalan prinsip agama yang tiada sandarannya dalam al-Quran, hadis, ijma’ atau qias. Sebagaimana dalam firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Ahzab, ayat 36:

Maksudnya: “Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas”

Gerakan ajaran sesat ini yang dijalankan secara terang-terangan dan ada juga yang bergerak secara halus dan tersembunyi tanpa disedari secara tidak langsung boleh memberikan implikasi yang negatif kepada umat Islam. Antara implikasi tersebut adalah:

  1. Membawa kemungkinan seseorang itu menjadi murtad kerana syirik atau menyalahi prinsip-prinsip utama ajaran Islam.
  2. Menyebabkan ibadah dan amalan seseorang itu tidak diterima dan menjadi sia-sia.
  3. Menyebabkan perpecahan dan permusuhan sesama umat Islam. Khususnya apabila sesebuah ajaran berkenaan mendakwa bahawa orang yang selain dari kumpulannya adalah salah. Terdapat juga dakwaan yang mengatakan orang yang tidak mengikuti kumpulan mereka adalah kafir.
  4. Menggalakkan kehidupan yang bertunjangkan pemuasan nafsu (kerana tidak berpegang kepada syariat Islam) sehingga melahirkan anak luar nikah dan amalan seks bebas dalam masyarakat.
  5. Menimbulkan ancaman pada keselamatan negara dan keharmonian masyarakat seperti yang pernah berlaku pada 2 Julai 2000 yang melibatkan kumpulan al-Maunah. Kumpulan ajaran sesat ini bertindak yang menceroboh satu kem askar dan melarikan sejumlah senjata api untuk digunakan bagi tujuan melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan. Kumpulan ajaran sesat ini percaya bahawa akan ada kuasa ghaib yang membantu mereka.
  6. Menghalang kemajuan dan pembangunan masyarakat serta negara.
  7. Menghambat kemajuan dakwah.
  8. Memberi gambaran dan imej yang tidak baik terhadap agama Islam.

Justeru itu, pihak-pihak bertanggungjawab perlu memainkan peranan sosialnya dengan memberikan penjelasan kepada masyarakat melalui pelbagai platform bagi memberi kesedaran terhadap bahayanya ajaran sesat. Umat Islam juga harus meyakini bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Sumber: Pejabat Mufti Negeri Selangor.