Home Kemanusiaan/Motivasi BERSATU DAN SALING BANTU – MEMBANTU DALAM KEBAIKAN!!! “BULAT AIR KERANA PEMBENTUNG...

BERSATU DAN SALING BANTU – MEMBANTU DALAM KEBAIKAN!!! “BULAT AIR KERANA PEMBENTUNG BULAT MASYARAKAT KERANA MUAFAKAT”

916
0

Islam amat menekankan soal kesepaduan dan kesepakatan antara sesama manusia. Bahkan, Islam yang disyariatkan oleh Allah SWT ini juga menjamin kesejahteraan dan rahmat kepada seluruh alam. Islam telah menyatupadukan banyak pihak dengan sifat rahmat, keadilan dan kebenaran yang menjadi tunjang utamanya.

Ketika kita masih lagi bertungkus-lumus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, sebahagian kita masih lagi sibuk bertelagah dan menuding jari mencari salah. Sedarlah bahawa masalah tidak akan selesai dengan kita menuding jari kepada pihak lain, bahkan ia hanya akan merumitkan lagi keadaan. Sepatutnya, dalam keadaan sebegini kita perlu menepikan terlebih dahulu sebarang perbezaan.

Tumpuan seharusnya diberikan kepada usaha memerangi jangkitan wabak penyakit dan kepatuhan kepada garis panduan dan S.O.P yang telah ditetapkan. Keutamaan kita pada waktu ini juga ialah untuk memutuskan rantaian jangkitan, memulihkan ekonomi rakyat dan negara, serta menstabilkan semula negara. Namun, kerana wujudnya perasaan tamak, fanatik, dan rakusnya pada kuasa, menyebabkan sebahagian kita bertindak melulu tanpa memikirkan kesan dan akibatnya.

Hentikanlah pertelingkahan dan perbalahan kerana saling menuding jari antara satu sama lain tidak akan menyelesaikan masalah. Para pemimpin juga harus menunjukkan contoh teladan yang baik kepada rakyat, begitu juga dengan rakyat sekalian agar terus memastikan pematuhan disiplin dan kawalan kendiri yang baik. Berilah kerjasama dengan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kita dari memberikan mudarat kepada orang lain atau menyusahkan tugas pengamal kesihatan. Yakinlah kepada Allah, bahawa kita akan selamat dengan bersepakat.

Ketahuilah bahawa Islam sentiasa menyeru umatnya agar bersikap jujur dan ikhlas serta mempunyai sifat berbaik sangka, tolong-menolong, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia untuk memaafkan antara satu sama lain. Sebaliknya nilai-nilai mulia ini hendaklah dihayati kerana ia diumpamakan seperti anggota tubuh badan kita saling memerlukan antara sesama anggota badan yang lain.

Sabda Rasulullah SAW:

“Kamu dapati orang-orang mukmin dalam berkasih sayang, bermesra dan berbaik-baik sesama mereka sama seperti tubuh badan, apabila mengadu sakit salah satu anggota badan, maka seluruh anggota badan yang lain akan berjaga malam dan turut merasai sakit yang sama.” (HR al-Bukhari).

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia