Apabila kita dikurniakan nikmat kesenangan, kita harus bersyukur. Apabila kita diberi ujian kesusahan, kita juga harus bersyukur. Itulah lumrah yang harus dilalui sebagai umat Islam, sentiasa bersyukur dalam apa jua keadaan tidak kira sama ada ia nikmat kesenangan ataupun ujian yang penuh dengan kesulitan. Ini kerana Islam telah mengajar kita untuk sentiasa redha akan apa jua keadaan yang berlaku dan menganggap ini adalah qada’ dan qadar daripada Allah SWT.
Sifat syukur berada pada tahap tertinggi kerana tidak ramai yang mampu mencapai tahap syukur di atas semua anugerah diterima di dunia ini. Sedangkan Allah SWT juga menegaskan, bagi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur akan ditambah nikmat mereka. Sifat syukur juga membolehkan seseorang mendapat pahala besar. Firman Allah SWT:
“Dan (sebaliknya) Allah memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur (dengan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya).” (QS Ali ‘Imran: 144).
Menurut seorang ulama fiqih terkenal dalam kurun ke 13, Ibnu Qayyim al-Jauziyah dalam kitab Madarijus Salikin menyatakan:
“Syukur itu menunjukkan adanya nikmat Allah pada dirinya. Dengan melalui lisan, iaitu berupa pujian dan mengucapkan kesedaran diri bahawa ia telah diberi nikmat. Dengan melalui hati, berupa persaksian dan kecintaan kepada Allah. Melalui anggota badan, berupa kepatuhan dan ketaatan kepada Allah.” (Madarijus Salikin: 2/224).
Di antara kelebihan orang yang bersyukur dan sentiasa menghargai pemberian Allah SWT termasuk nikmat usia, kesihatan, harta benda, anak serta keluarga, akan merasa kebahagiaan hidup. Begitu juga, apabila diuji dengan kemiskinan, penyakit, masalah dan pelbagai rintangan lain, hati tetap sabar serta bersyukur kerana yakin setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Mereka yang bersyukur sentiasa memuji Allah SWT, menunaikan setiap suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Golongan yang bersyukur juga mengakui kebesaran Allah SWT.
Oleh itu, jadilah hamba yang bersyukur kerana mengetahui segala nikmat datangnya daripada Allah SWT dan menterjemahkan rasa syukur dengan menggunakan kurniaan itu pada jalan yang diredaiNya. Syukur itu tidak terhenti hanya di dunia sebaliknya haruslah berkekalan hingga ke akhir hayat supaya terhindar daripada sifat kufur terhadap nikmat diberi.
Sumber: Berita Harian (5 Disember 2019)