Home Kemanusiaan/Motivasi JANGAN MENUNJUK-NUNJUK (RIAK) DALAM MELAKUKAN IBADAH DAN KEBAJIKAN KERANA IA ADALAH SIFAT...

JANGAN MENUNJUK-NUNJUK (RIAK) DALAM MELAKUKAN IBADAH DAN KEBAJIKAN KERANA IA ADALAH SIFAT YANG DIBENCI MALAH TIDAK DITERIMA AMALNYA OLEH ALLAH SWT

3860
0

Ramai di kalangan umat Islam hari ini sudah mulai sedar dan buka mata untuk lebih melakukan ibadah dan amal kebajikan seperti bersedekah, berdakwah dan mengajak umat Islam lainnya melakukan kebaikan. Satu petanda positif di dalam perkembangan dunia Islam dan sebenarnya amalan kebaikan tersebut merupakan ajaran dalam agama Islam yang perlu dilaksanakan oleh seluruh umat Islam.

Namun, dalam kita memperbanyakkan amal ibadah dan juga kebajikan, ada satu perkara yang semua umat Islam harus berwaspada. Ianya adalah sifat suka menunjuk-nunjuk dalam melakukan ibadah dan kebajikan terutama sekali apabila kehadiran platform media sosial yang semakin melambak membuatkan ramai di antara kita yang tanpa segan silu menunjukkan amal ibadah dan kebajikan dengan mengharapkan jumlah “like” yang banyak. Sikap ini sebenarnya adalah perbuatan riak yang sangat dicela oleh Allah, malah sikap yang suka menunjuk-nunjuk amal kebaikan itu boleh menyebabkan seluruh amal kebaikannya akan ditolak atau tidak diterima oleh Allah SWT. Ia adalah perbuatan syirik kecil yang Allah SWT tidak menerima amalan orang-orang yang mensyirikkaNya dalam beribadah.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sungguh yang lebih aku takut atas kamu ialah syirik kecil. Berkata sahabat : Apakah dia syirik kecil wahai Rasulullah? Sabdanya: iaitu riak. Allah akan berfirman kepada mereka pada hari kiamat nanti ketika manusia dibalas akan amalan mereka: Pergilah kamu sekalian kepada orang-orang yang kamu tunjukkan amalan kamu di dunia maka lihatlah adakah kamu dapati sebarang ganjaran di sisi mereka?” (HR Ahmad).

Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah SWT berfirman:

“Aku bebas dari segala sekutu yang ada pada amalan yang dilakukan di mana dia mensyirikkan Ku dengan yang lain. Maka Aku akan tinggalkannya dan sekutunya itu.” (HR Muslim).

Oleh itu, jangan jadikan ibadah dan amal kebajikan yang kita lakukan ini sebagai satu perbuatan yang sia-sia dan dimurkai Allah SWT. Berkata Imam Ibnu Rajab:

“Dan amalan ini (iaitu riak) tidak syak lagi oleh seorang sesungguhnya ia adalah sia-sia dan sungguhnya pelakunya nanti berhak mendapat murka Allah dan azab siksanya.” (Kitab Jami’ul ‘Ulum Wal Hikam)

Oleh itu, hendaklah kita berhati-hati dan jangan sampai terikut-ikut perbuatan sesetengah orang pada zaman ini yang suka berkongsikan gambar dengan tujuan menunjuk-nunjuk amal soleh dan ibadah mereka di sosial media. Kita hendaklah sentiasa memohon kepada Allah untuk memberikan petunjuk dan hidayahNya agar terhindar daripada tipu daya syaitan yang menyesatkan waimah dengan amal kebaikan.

Sumber: Berita Harian (2 Mac 2017)