Home MURTAD BIMBINGAN AGAMA YANG BERTERUSAN TERUTAMANYA DALAM HAL AKIDAH ADALAH USAHA YANG...

BIMBINGAN AGAMA YANG BERTERUSAN TERUTAMANYA DALAM HAL AKIDAH ADALAH USAHA YANG PERLU BAGI MEMBENDUNG GEJALA MURTAD DI KALANGAN MUALLAF

326
0

Isu murtad terutamanya yang melibatkan seorang berbangsa Melayu Islam bukanlah merupakan satu isu yang baru di Malaysia, malah menjadi penyumbang utama kepada peningkatan jumlah kes-kes murtad. Namun terdapat satu lagi faktor yang menjadi penyumbang kepada kes murtad di Malaysia iaitu yang melibatkan golongan muallaf.

Terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan sebilangan muallaf kembali kepada agama asal mereka. Antaranya ialah penceraian atau kegagalan rumah tangga. Kebanyakan trend menunjukkan bahawa seseorang muallaf itu memeluk agama Islam kerana ingin berkahwin dengan pasangannya yang asal Muslim. Secara automatiknya, pasangan yang asal Muslim tersebut mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memberi bimbingan agama yang mencukupi dan pengamalan ritual-ritual ibadah yang konsisten kepada pasangannya yang muallaf tersebut.

Apabila sepanjang perkahwinan pasangan muallaf tidak diterapkan dengan pengamalan kehidupan menurut ajaran Islam maka keretakan rumah tangga atau penceraian yang berlaku mampu mencenderungkan mereka kembali ke pangkuan keluarganya dan kembali kepada agama asalnya. Sebagai contoh dalam satu kes murtad melibatkan seorang muallaf yang bernama Tham Eng Cheang dan telah memeluk Islam untuk bernikah dengan seorang perempuan Islam, Zaimas Ibrahim. Selepas dikurniakan dua orang anak, Tham kemudiannya telah mengisytiharkan dirinya keluar daripada agama Islam.

Kes sebegini mungkin merupakan kes terpencil, namun disebabkan ianya pernah berlaku dan melibatkan akidah seorang muallaf serta implikasi yang buruk kepada keluarga, maka seharusnya perkara ini diteliti sebaiknya supaya perkara ini tidak menjadi suatu kebiasaan pada masa akan datang. Janganlah kerana cinta, agama hanya menjadi satu alat untuk penyatuan dua hati. Seharusnya agama Islam itu dihayati supaya penerapan Islam dalam kehidupan berpasangan itu dapat dirasai kemanisannya bersama iman yang kukuh (halawatul iman) seterusnya melahirkan keluarga yang ‘mawaddah wa rahmah’.

Sumber: Skripsi Universitas IslamNegeri Sulthan Thaha Saifuddin Jambi- MAC 2020 dan udakwah.com