Home Kemanusiaan/Motivasi HINDARILAH FITNAH KERANA IA ADALAH DOSA BESAR YANG MENYEBABKAN PERPECAHAN UMMAH

HINDARILAH FITNAH KERANA IA ADALAH DOSA BESAR YANG MENYEBABKAN PERPECAHAN UMMAH

542
0

Di akhir zaman ini, banyak sekali berlaku kejadian fitnah. Tidak kiralah sama ada terhadap umat Islam ataupun sesama Islam, apa yang pasti fitnah yang dikeluarkan oleh seseorang ternyata menyebabkan perpecahan di kalangan ummah dan mengakibatkan huru-hara. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya orang yang hidup sesudahku daripada kalangan kamu sekalian akan melihat perselisihan yang banyak. Maka, hendaklah kamu sekalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah yang benar lurus lagi mendapat petunjuk. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah ia dengan gigi geraham kamu. Dan berwaspadalah kamu sekalian dengan perkara-perkara yang baharu (dalam urusan agama) kerana setiap perkara yang baharu adalah bidaah dan setiap bidaah pula adalah sesat.” (HR Abu Daud).

Dalam agama, menabur fitnah itu adalah satu perbuatan haram, tercela dan termasuk dosa-dosa besar. Sesungguhnya fitnah itu ialah tuduhan, khabar, kisah dan seumpamanya, yang diada-adakan atau direka-reka untuk memburukkan seseorang. Bahaya fitnah itu bukan sahaja menyebabkan penabur fitnah itu mendapat dosa besar malah akan mengakibatkan tidak akan dapat masuk syurga Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

“Penabur fitnah tidak akan masuk syurga.” (HR Bukhari).

Perselisihan dan perpecahan umat Islam hari ni disebabkan fitnah memang tidak dapat dielakkan kerana ia adalah perkhabaran daripada Nabi SAW, bukan ramalan Baginda. Namun, Baginda sudah memberikan cara untuk selamat daripadanya iaitu berpegang dengan sunnahnya, temasuk sunnah al-Khulafa’ ar-Rasyidin. Maka, mereka yang berpegang dengannya dipanggil sebagai ‘Ahli Sunnah’ manakala mereka yang berpaling daripadanya dipanggil sebagai ‘Ahli Bidaah’.

Jika diamati, perbuatan fitnah ini dikaitkan dengan syaitan kerana kesannya sangat berbahaya dan membawa mudarat yang amat serius terhadap umat Islam. Mungkin dapat dinyatakan bahawa antara agenda syaitan yang paling besar ialah memecahbelahkan umat Islam. Ini seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Ketahuilah, sesungguhnya fitnah itu di sini, di mana munculnya tanduk syaitan.” (HR Bukhari & Muslim).

Oleh itu, berhati-hatilah dalam bercerita ataupun mereka-reka cerita. Ini kerana mungkin kita akan melakukan satu tindakan fitnah yang terbesar dan mengakibatkan kehancuran ummah secara besar – besaran. Mahukah kita menjadi sebahagian daripada pengikut Dajjal al Masih? Insaflah! Berhati-hati daripada menjadi asbab kepada perpecahan ummah sama ada kerana ideologi ataupun kehancuran institusi keluarga. Berpegang teguh dengan sunah Nabi SAW dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan pegangan majoriti besar ulama Islam muktabar.

Sumber: Institut Kajian Hadis & Akidah (INHAD), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)