Home Kemanusiaan/Motivasi PECUTAN TERAKHIR RAMADAN GANDAKAN AMALAN DI SEPULUH TERAKHIR RAMADAN UNTUK MERAIH KEAMPUNAN...

PECUTAN TERAKHIR RAMADAN GANDAKAN AMALAN DI SEPULUH TERAKHIR RAMADAN UNTUK MERAIH KEAMPUNAN DAN MEREBUT BERBAGAI GANJARAN YANG ALLAH SWT SEDIAKAN

1017
0

Hari ini sudah memasuki hari ke-24 dalam bulan Ramadan dan ini bermakna berbaki enam hari sahaja lagi kita bakal memasuki bulan Syawal iaitu bulan kemenangan. Apakah kita sudah bersiap dengan kepergian Ramadan kali ini? Apa yang pasti, bagi orang-orang yang soleh mereka akan merasa sedih dengan keadaan ini dan akan menggunakan peluang yang ada ini untuk melipatgandakan amalan seperti beribadah, selawat dan berzikir kepada Allah SWT untuk meraih keampunan dariNya.

Daripada Aisyah R.A berkata:

“Rasulullah SAW apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan ibadah), mengejutkan keluarganya (bangun beribadah), bersungguh-sungguh (dalam beribadah) dan ‘uzlah’ (mengasingkan diri) daripada isteri-isterinya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Imam Ibn Rajab Al-Hanbali berkata:

“Ketahuilah bahawa seorang mukmin itu terhimpun baginya dua jihad untuk dirinya. (Iaitu) jihad pada waktu siang dalam berpuasa serta jihad pada waktu malam dalam melakukan qiamullail. Sesiapa yang menghimpunkan antara dua jihad ini dan melunaskan hak keduanya serta bersabar dalam melakukannya, dia telah memperoleh ganjaran pahala yang tidak terhitung.” (Lathā’if Al-Ma’ārif, Ibn Rajab [1/171]).

Kini, fasa mengejar fadhilat Lailatul Qadar sudahpun bermula. Kehadirannya di rahsiakan oleh Allah SWT, tetapi sekiranya kita dapat beribadah pada malamnya, ia lebih baik berbanding beribadah 1000 bulan lainnya. Antara amalan asas bagi kita untuk tetap terus diamalkan bermula sepuluh terakhir Ramadan hinggalah ke penghujungnya dengan mengharapkan mendapat ibadah di malam Al-Qadar ialah solat berjemaah di setiap waktu, solat terawih dan solat-solat sunat yang lain, beri’ktikaf di masjid, bersedekah, membaca al-Quran, memperbanyakkan istighfar, makan pada waktu sahur dan memperbanyakkan berdoa, berzikir serta membuat berbagai amal kebaikan yang lain. Bahkan, amalan ini jugalah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Baginda mempergiatkan amal ibadah pada 10 terakhir daripada bulan Ramadan melebihi daripada waktu lain.

Sebagai umat Islam yang sentiasa mengharapkan pengampunan dari Allah SWT, tidak mahukah kita merebut peluang ini seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW? Peluang ini tidak selalu hadir di bulan-bulan lain melainkan bulan Ramadan kerana ianya bulan dijanjikan keampunan iaitu bulan di mana Allah SWT memberikan pengampunan kepada dosa-dosa kita yang lalu. Oleh itu, amatlah rugi sekiranya kita menyia-nyiakan peluang yang ada ini kerana belum tentu kita akan bersua dengan Ramdan yang seterusnya.

Marilah kita melipatgandakan amalan di sepuluh hari terakhir daripada Ramadan ini dengan menjaga solat fardhu dan memperbanyakkan doa kerana Allah SWT memberi pengampunan penuh kepada kita di sepanjang bulan Ramadan ini dan menyediakan peluang yang istimewa kepada orang Muslim dengan berbagai fadilat yang tidak terkira banyaknya.

Sumber: Majlis Islam Sarawak (MIS)