Home Kemanusiaan/Motivasi BERLAPANG DADALAH MENERIMA TAKDIR ALLAH SWT KERANA IA ADALAH ANTARA CIRI-CIRI ORANG...

BERLAPANG DADALAH MENERIMA TAKDIR ALLAH SWT KERANA IA ADALAH ANTARA CIRI-CIRI ORANG YANG BERIMAN

566
0

Kehidupan manusia tidak selalunya mengikut apa yang dirancangkan. Benarlah kehidupan di dunia ini umpama roda. Sebagai seorang yang beriman, apa saja yang terjadi tidak menyebabkan kegusaran di hati apabila memahami itu adalah takdir llahi. Tidak mungkin seseorang itu terlepas daripada menghadapi kesedihan. Cuma, kita dianjurkan agama supaya tidak keterlaluan menurut kata hati sehingga melemahkan kesihatan mental dan fizikal.

Sebagai umat Islam, kita telah diajarkan dengan cara dan kaedah tersendiri menghindar kesedihan jiwa. Perkara penting yang perlu disematkan dalam hati ialah menguatkan keimanan dan takwa kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, ‘Tuhan kami ialah Allah.’ Kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (QS Al – Ahqaf: 13).

Berdasarkan ayat di atas, ia sudah jelas menerangkan hati yang sentiasa dikuatkan dengan iman dan akidah yang kukuh menjadi benteng paling ampuh buat seseorang menanggung setiap peristiwa menyedihkan dalam kehidupannya. Kita hanya perlu berpaut kepada keyakinan Allah SWT akan membenihkan rasa tenteram dalam jiwa meskipun ketika seseorang itu dirundung pelbagai dugaan hidup. Janganlah kita terlalu merasa sedih yang keterlaluan seperti orang hilang pedoman.

Buat apa bersedih dengan hilang satu, sedangkan masih berbaki pelbagai nikmat lain. Menantu Rasulullah SAW, Saidina Uthman bin Affan pernah ingatkan diri kita supaya tidak bersedih dengan urusan keduniaan. Pesannya:

“Kesedihan dalam urusan dunia dapat menggelapkan hati, kesedihan dalam urusan akhirat dapat menerangkan hati.”

Letakkan kepercayaan penuh kepada Allah SWT. Ini bermaksud kita percaya penuh Allah SWT mengurniakan begitu banyak nikmatNya. Maka, hilang satu nikmat dalam kehidudupan tidaklah menyebabkan hati kita berasa kecewa dan bermuram durja. Jadilah umpama burung pada pagi hari. Makhluk Allah itu begitu positif dengan roda kehidupan hariannya. Tidak terlintas untuk bersedih hati lantaran perut masih kosong, sedangkan anak kecil di sarang masih tidur. Setiap perkara yang baik itu datang dari Allah SWT dan apa yang baik itu harus kita perbaiki kerana Islam itu mengajar kita dengan slogannya “hari ini lebih baik dari semalam, hari esok lebih baik daripada hari ini”. Allah SWT berfirman:

“Barangsiapa dikehendaki Allah akan mendapat hidayah (petunjuk), Dia akan membukakan dadanya untuk (menerima) Islam. Dan barangsiapa dikehendaki-Nya menjadi sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seakan-akan dia (sedang) mendaki ke langit. Demikianlah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman.” (QS. Al-An’am: 125).

Sumber: Harian Metro (27 November 2018).