Home Kemanusiaan/Motivasi BERSEDERHANALAH DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN KERANA IA LEBIH DIBERKATI OLEH ALLAH SWT

BERSEDERHANALAH DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN KERANA IA LEBIH DIBERKATI OLEH ALLAH SWT

115
0

Kehidupan bersederhana adalah amalan yang sangat dituntut dalam agama Islam. Apa sahaja yang kita lakukan mestilah dalam keadaan yang sederhana dan tidak berlebihan atau lebih tepat lagi berada di pertengahan. Islam menuntut setiap Muslim supaya berusaha mengejar dan mencari sedapat mungkin keperluan bagi menyempurnakan sebuah kehidupan sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti. Oleh itu, cara paling sesuai dianjurkan Islam ialah dengan bersederhana, tidak kiralah dalam pengurusan kehidupan seharian ataupun dalam melakukan ibadah. Firman Allah SWT:

“Dan mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak juga bakhil kedekut dan sebaliknya perbelanjaan mereka itu adalah sederhana di antara kedua-duanya.” (QS al – Furqan: 67).

Sesungguhnya mengamalkan sikap bersederhana dalam kehidupan dapat mengelakkan diri daripada bersikap boros dan membazir. Dalam berbelanja kita hendaklah mengutamakan keperluan bukannya mengutamakan kemahuan. Sikap berbelanja mengikut hawa nafsu mesti dihindari dan dibendung sebelum ia menjadi tabiat. Begitu juga halnya dengan mempelajari ilmu agama, janganlah kita terlalu berlebih-lebihan sehingga menjadi taksub atau ekstrim hingga membebankan diri. Ini kerana, terdapat hadis yang menunjukkan larangan untuk seseorang itu bersifat melampau dalam beragama. Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda sebanyak tiga kali:

“Musnahlah golongan yang melampau.” (HR Muslim).

Mengambil jalan bersederhana dalam segala hal menggambarkan satu gambaran akhlak yang sangat murni dan terpuji. Sifat inilah yang sentiasa menghiasi kehidupan Rasulullah SAW sehari-hari sepanjang perjalanan hayatnya. Maka, sewajarnya kita sebagai umat Baginda perlu mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dengan cara mengamalkan sifat sederhana dalam semua perkara. Ia satu tindakan terbaik dan pilihan paling tepat bagi seorang Muslim. Rasulullah SAW pernah mengakui bahawa sederhana dalam segala aspek itu adalah bagus seperti sabda Baginda bermaksud:

“Sebaik-baik perkara adalah tengah-tengahnya (sederhana).” (HR Baihaqi).

Kesederhanaan tidak terhad kepada perbelanjaan saja, tetapi perlu dititikberatkan dalam semua aspek kehidupan termasuk dalam percakapan, pergaulan, beribadat, berpakaian dan menguruskan kerjaya serta kehidupan peribadi. Sesungguhnya bersederhana itu akan memberi kesan positif kepada diri seperti lahirnya sifat tenang dan sabar dalam jiwa, menjadi manusia berdisiplin dan bertanggungjawab baik. Orang yang bersederhana akan memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat serta lebih diberkati oleh Allah SWT.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan