Home Kemanusiaan/Motivasi BUDAYA ‘TROLL’ (MENYEBARKAN SINDIRAN BURUK UNTUK MEMFITNAH DAN PROVOKASI DI INTERNET) PERLU...

BUDAYA ‘TROLL’ (MENYEBARKAN SINDIRAN BURUK UNTUK MEMFITNAH DAN PROVOKASI DI INTERNET) PERLU DIKAWAL UNTUK MENGELAKKAN BUDAYA MEMFITNAH DAN MEMBANGKITKAN PERMUSUHAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT

1118
0

Dalam bahasa mudah, troll merupakan slanga internet yang merujuk kepada perbuatan individu yang memulakan pertengkaran atau mengalihkan perhatian atau menyebarkan perselisihan dalam media sosial dengan menyiarkan mesej bersifat provokatif, sarkastik dan agresif. Pelaku troll biasanya membuka akaun palsu menggunakan profil mangsa mereka untuk dijadikan bahan sindiran dan jenaka. Pelaku troll juga menggunakan nama samaran dan profil palsu (pseudonym) untuk melakukan serangan peribadi ke atas individu lain.

Namun, zaman ini perbuatan troll kini semakin menjadi-jadi terutamanya di kalangan ahli-ahli politik dan juga rakyat biasa. Bahkan, institusi diraja pun tidak terkecuali daripada terkena tempiasnya. Ini menjadi ikutan generasi muda yang menganggap itu adalah suatu hal yang biasa dan lebih ditakrifkan sebagai satu bentuk kebebasan bersuara. Adakah tepat tindakan itu?

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.” (HR Ahmad: 7215)

Mengambil iktibar ini, seseorang itu tidak sepatutnya melontarkan apa sahaja yang mahu dikatakan atau dikongsikan tanpa rasa bertanggungjawab dan beretika. Sebagai netizen sekalipun, kita juga perlu berakhlak mulia di alam maya.  Lantaran itu, sesuatu troll meskipun berlandaskan maklumat dan fakta, namun tidak boleh dijadikan sebagai petunjuk atau manifestasi bahawa ia beretika dan berlandaskan kebenaran, atau cuba sekadar sindrom penafian seseorang yang masih dilamuni kegagalan. Sesungguhnya Islam melarang keras umatnya meniru atau cuba memperlihatkan amalan troll ini sebagai sebahagian daripada kebiasan hidup kerana perbuatan ini juga termasuk dalam dosa memfitnah dan mengadu domba. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika begini yang dimaksudkan dengan troll, maka ia jelas bertentangan dengan akhlak dan adab Islam. Bahkan amat jauh sekali daripada sifat seorang mukmin yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat. Justeru, dalam konteks negara hari ini, perbuatan menyerang mesti dipantau kerana kita tidak mahu tabiat buruk menghalang penyemaian nilai murni masyarakat dan pembangunan negara terutamanya apabila melibatkan sahsiah generasi masa hadapan. Maka, wajarlah perkara ini dikekang demi melahirkan generasi yang mempunyai adab dan akhlak yang unggul.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Berita Harian “Budaya ‘troll’ dan kemusnahan nilai moral” (27 Januari 2019)