Home Kemanusiaan/Motivasi SENTIASALAH MENJADI HAMBA ALLAH SWT YANG BERSYUKUR BERSYUKUR ITU SEBAHAGIAN DARIPADA...

SENTIASALAH MENJADI HAMBA ALLAH SWT YANG BERSYUKUR BERSYUKUR ITU SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA KEIMANAN

791
0

Sudahkah kita bersyukur pada hari ini? Seharusnya kita perlu mengungkapkan rasa syukur setiap hari kepada Allah SWT setiap hari kerana Dialah yang menurunkan segala nikmat dan rezeki. Allah SWT telah memberi kita nikmat yang terlalu besar dan banyak termasuklah nikmat yang paling besar iaitu Islam dan iman.

Maka, kita harus bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Allah SWT berikan. Ini kerana syukur adalah sebahagian dari tujuan penciptaan dan perintahNya. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika kamu benar-benar mentauhidkanNya.” (QS al – Baqarah: 172).

Bagaimanakah cara untuk kita mensyukuri segala nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita? Ada berberapa cara untuk kita mensyukuri nikmat-nikmat tersebut. Salah satu caranya adalah mensyukuri nikmat Allah SWT dengan hati iaitu dengan cara kita meneguhkan keimanan kita, menjauhi kesyirikan dan mengakui dengan penuh keimanan di dalam hati, bahawasanya segala nikmat tersebut datang dari Allah SWT. Ini seperti yang dinyatakan di dalam surah An – Nahl, ayat 53:

“Dan segala nikmat yang ada padamu (datangnya) dari Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesengsaraan, maka kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan.”

Selain itu, antara cara lain untuk kita mensyukuri segala nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita adalah dengan lisan, yakni dengan cara kita memperbanyakkan pujian serta mengingati-Nya dengan zikir-zikir dan doa-doa yang sahih, sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan salah satu contoh cara bersyukur melalui lisan dan menggunakan anggota badan dengan melaksanakan sujud syukur setelah mendapat sesuatu nikmat dari Allah SWT. Ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Bahawasanya (Nabi SAW) apabila datang kepadanya berita yang mengembirakan atau diberi khabar gembira (kepadanya) dia tersungkur (berkeadaan) sujud bersyukur kepada Allah”. (HR Abu Daud).

Oleh itu, marilah kita menjadi golongan hamba Allah SWT yang selalu memanjatkan kesyukuran kepadaNya. Barangsiapa yang selalu memanjatkan rasa kesyukurannya kepada Allah SWT akan dikurniakan kesempurnaan iman dan pahala yang berlipat ganda.

Sumber: Jabatan Mufti Perlis