Home Kemanusiaan/Motivasi MENGUBAH RUPA DAN BENTUK ASAL HANYA SEMATA-MATA KERANA TREND? JANGAN SESEKALI MENCABAR...

MENGUBAH RUPA DAN BENTUK ASAL HANYA SEMATA-MATA KERANA TREND? JANGAN SESEKALI MENCABAR KUASA ALLAH SWT

480
0

Walaupun kita kini hidup di dalam suasana yang maju dan serba canggih, akan tetapi sebagai umat Islam kita harus mempunyai had dalam melakukan sesuatu agar tidak bercanggah dengan suruhan agama dan berkemungkinan boleh jatuh hukum haram dan berdosa. Sebagai umat Islam, sudah tentu kita tahu akan hukum mengubah ciptaan Allah SWT. Dari sekecil-kecil ubahan seperti menyulam nama atau bahasa mudahnya membuat tatu, mencukur kening hingga kepada sebesar-besar ubahan seperti menukar jantina atau menjadi transgender. Hari ini, dunia semakin hari semakin menakutkan apabila wujudnya satu lagi trend perubahan yang dicipta manusia berfikiran liberal iaitu “transracial” dan juga “transable”.

Apa itu? “Transracial” adalah perubahan yang dilakukan seseorang yang merasakan dirinya sepatutnya menjadi seorang yang lain. Misalnya, seseorang yang berkulit putih merasakan bahawa dirinya sepatutnya menjadi seorang yang berkulit gelap. Manakala “transable” pula adalah perubahan seseorang yang sempurna fiziknya namun dia merasakan dia sepatutnya menjadi seorang yang kurang berkemampuan ataupun OKU. Nauzubillahiminzalik! Ini satu perbuatan yang terang dan nyata mencabar kuasa Allah SWT. Bukankah Allah SWT telah menjadikan setiap manusia di muka bumi ini dengan seindah-indahnya kejadian? Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya kami telah ciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya” (QS At – Tin: 95).

Kesemua perbuatan tersebut haram kerana mengubah fitrah asal kejadian dan mempunyai unsur penipuan iaitu menampilkan perkara yang bukan asli. Bahkan menjurus kepada pembaziran wang dalam perkara mungkar serta dilaknat Allah SWT. Sebagai umat Islam kita haruslah sentiasa memenuhi dada dengan ilmu agama agar terhindar daripada perbuatan yang dilaknat Allah SWT. Sesungguhnya, ciptaan Allah SWT itu sudah sempurna dan mempunyai keindahan tersendiri jika kita benar-benar menghayatinya. Rasulullah SAW bersabda:

“Allah SWT melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu. Orang yang mencabut bulu mata dan orang yang diminta cabut bulu matanya. Orang yang menjarangkan giginya demi kecantikan sehingga merubah ciptaan Allah SWT”. (HR Bukhari).

Ingat, jangan sesekali mencabar kekuasaan Allah SWT. Kita tiada hak untuk merubah diri kita hanya semata-mata kerana trend dan bukannya untuk tujuan perubatan. Jangan sesekali merasakan diri itu hebat kerana berjaya merubah ciptaan Allah SWT kerana pengakhirannya akan mengundang kemurkaan Allah SWT dan akan mendapat seksa di akhirat kelak.

Sumber: Laman Web Jejak Tarbiah (https://www.jejaktarbiah.com/mengubah-ciptaan-allah-swt-antara-larangan-dan-keperluan-menurut-perspektif-al-quran/), 17 Disember 2020