Home Kemanusiaan/Motivasi SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL – MUBARAK 1444 HIJRAH JADIKAN RAMADAN KALI INI...

SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL – MUBARAK 1444 HIJRAH JADIKAN RAMADAN KALI INI ANTARA RAMADAN YANG TERBAIK

555
0

Hari ini merupakan hari pertama kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan. Diharapkan semuanya bersemangat menyambut kedatangan bulan Ramadan ini dengan iltizam yang baru. Jika Ramadan tahun lalu terdapat banyak kelohongan semasa kita melaksanakannya, apa kata pada Ramadan tahun ini kita tanamkan satu azam untuk menjadikan ia yang lebih baik daripada sebelum ini. Apa yang perlu kita lakukan agar boleh menjadikan Ramadan kita pada kali ini lebih baik? Antara yang paling utama adalah dengan memperbaiki amal ibadah kita.

Sebagai contoh, megimarahkan masjid-masjid dengan mengikuti solat-solat jemaah dan solat tarawih. Setiap Muslim perlu mengambil peluang mengimarahkan rumah Allah SWT. Pastikan diri cuba untuk berada di masjid atau surau setiap hari, meskipun hanya seketika. Usah lepaskan peluang untuk menjadi hambaNya yang berusaha mengimarahkan masjid terutama pada bulan Ramadan. Sabda Rasulullah SAW:

“Solat berjemaah itu lebih baik daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat.” (HR Bukhari dan Muslim).

Sesungguhnya amat besar pahala bagi mereka yang berusaha menghidupkan Ramadan dengan amal ibadah kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:

“Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Ramadan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.” (HR Muslim).

Gunakanlah kesempatan yang ada ini untuk kita meraih sebanyak-banyaknya pahala dan menjadikan Ramadan kali ini lebih baik. Bahkan Rasulullah SAW secara tegas memerintahkan umat Islam agar benar-benar memanfaatkan kesempatan sebaik mungkin dengan memperbanyak amal soleh termasuk dalam konteks ini berpuasa. Sebab jika kesempatan itu kita abaikan tentu akan hilang begitu sahaja. Belum pasti tahun hadapan kita akan bertemu lagi. Apabila kesempatan hidup disia-siakan untuk beribadah maka penyesalan akan berlaku apabila saat maut datang menjemput.

Selain itu, sewaktu badan kita masih sihat kita gunakanlah sebaik mungkin untuk memperbanyak amalan soleh dalam bulan Ramadan termasuk berpuasa dengan sebaik mungkin, jangan kita menunda dan melakukan ibadah dengan sambil lewa kerana apabila datangnya sakit, ia menyebabkan betapa susah untuk beribadah. Di samping itu, masa lapang kita semasa hidup di dunia adalah suatu kesempatan untuk mengumpulkan bekalan yang akan dituai hasilnya pada hari pembalasan. Dalam konteks berpuasa Allah SWT yang menilai segala amalan kita.

Raihlah peluang setahun sekali ini dengan beribadah dengan sesungguh-sungguhnya agar kita beroleh keberkatan dan pahala yang berlipat ganda sepanjang bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini. Semoga kita semua termasuk dalam golongan-golongan yang diredhai Allah SWT, Aamiin.

Sumber: Harian Metro (21 Mac 2023).