Home Kemanusiaan/Motivasi SOLAT TARAWIH BUKAN SEKADAR UNTUK MERAIH PAHALA SUNAT TETAPI JUGA SEBAGAI SATU...

SOLAT TARAWIH BUKAN SEKADAR UNTUK MERAIH PAHALA SUNAT TETAPI JUGA SEBAGAI SATU BENTUK SENAMAN DI BULAN RAMADAN

355
0

Saban tahun di bulan Ramadan, pasti setiap umat Islam dari segenap lapisan di seluruh dunia tidak ketinggalan untuk mengerjakan solat sunat Tarawih bagi mendapat ganjaran pahala sunat di samping mendapat ganjaran pahala berpuasa di siang hari. Namun, adakah kita tahu selain untuk mendapatkan ganjaran pahala, solat sunat tarawih juga adalah salah satu bentuk senaman di bulan Ramadan buat para mereka yang mahu menjaga berat badan selain dari berpuasa?

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, kita dituntut untuk melaksanakan solat sunat Tarawih yang tidak ada dalam bulan-bulan yang lain secara berjemaah atau bersendirian. Hukum solat sunat tarawih adalah sunnah muakkad (sunat yang dituntut). Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang mendirikan Ramadan karena keimanan dan mengharapkan redha daripada Allah SWT, akan diampuni dosanya yang telah lalu” (HR Bukhari).

Selain mendapat ganjaran daripada Allah SWT, kelebihan solat Tarawih juga membantu seseorang dalam menjaga kesihatan. Islam menyarankan umatnya sentiasa menjaga tubuh badan serta mengamalkan cara hidup yang sihat. Kehidupan sihat itu juga adalah satu amanah dalam hubungan manusia dengan Allah SWT. Apakah kelebihan solat Tarawih kepada tubuh manusia? Sebelum berbuka puasa, tahap gula darah dan juga insulin berada pada tahap terendah dalam tubuh dan selepas berbuka paras gula darah dan juga plasma insulin akan mula meningkat naik dalam tubuh. Pada ketika ini juga, hati dan juga otot badan akan mula memproses dan mengedarkan glukosa yang ada dalam tubuh. Gula darah akan mula berada pada tahap yang tinggi dalam tempoh satu atau dua jam selepas berbuka.

Pada ketika itulah apabila kita melaksanakan solat Tarawih, glukosa yang sedang beredar dalam tubuh anda akan dimetabolisme menjadi karbon dioksida dan juga air. Secara tidak langsung, solat Tarawih membantu membakar lebih banyak kalori dan meningkatkan fleksibiliti serta koordinasi tubuh. Selain itu juga, solat Tarawih membantu mengurangkan tindak balas autonomi berkaitan tekanan bagi individu yang sihat dan mengurangkan kegelisahan serta kemurungan yang dialami.

Hebat bukan setiap atur dan ciptaan Allah SWT? Allah SWT menyuruh kita mengerjakan solat tidak kira sama ada yang wajib mahupun yang sunat untuk kita sentiasa sihat dan aliran darah kita sentiasa mengalir di seluruh tubuh badan dengan lancar. Nikmat apa lagi yang mahu kita dustakan? Setiap kenikmatan yang Allah SWT turunkan kepada kita pasti disertakan dengan amal ibadah yang wajib kita lakukan. Firman Allah SWT:

“Sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, tiadalah kamu dapat menghitungnya, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (QS An – Nahl: 18).

Sumber: Laman Web Hello Doktor (https://hellodoktor.com/kecergasan/aktiviti-lain/kelebihan-solat-tarawih-bakar-kalori/) & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan