Home Kemanusiaan/Motivasi BEKERJALAH DENGAN IKHLAS KERANA DI DALAM SESEBUAH PEKERJAAN TERDAPATNYA KEBERKATAN

BEKERJALAH DENGAN IKHLAS KERANA DI DALAM SESEBUAH PEKERJAAN TERDAPATNYA KEBERKATAN

1556
0

Walaupun tanggal 1 Mei bersamaan dengan sambutan Hari Pekerja telah pun berlalu, namun di sepanjang bulan ini, marilah kita mengambil iktibar dan pengalaman dalam penceritaan sebuah kehidupan orang yang bekerja. Pernah atau tidak kita terfikir ataupun tertanya di dalam diri, berkatkah kita dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita?

Islam mendidik setiap Muslim agar sentiasa menjadikan pekerjaan yang dilakukan sebagai ibadah kerana akan dilihat dan dinilai oleh Allah SWT. Setiap individu yang mempunyai kemampuan dan keupayaan daripada segi fizikal serta mental dituntut untuk bekerja. Islam sangat memuji individu yang bekerja, bahkan akan diampunkan dosa. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang pada petang harinya berasa letih daripada amal usaha dilakukan dengan kedua-dua tangannya sendiri, dia pada petang itu telah diampunkan dosanya.” (HR At – Tabrani).

Walaupun Islam menganjurkan bertawakal kepada Allah SWT di dalam setiap urusan kehidupan, namun perlu dilaksanakan setelah berusaha melakukan pekerjaan yang boleh mendatangkan hasil. Akan tetapi, ia tidaklah dalam mencari rezeki yang sehingga bercanggah dengan bercanggah dengan syariat. Penekanan terhadap punca rezeki yang halal adalah menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam kerana kelak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT. Galakan dan motivasi untuk berusaha mencari sumber rezeki yang halal juga dapat dilihat dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud:

“Siapa mencari dunia yang halal untuk menjauhkan diri daripada meminta-minta dan usaha untuk keluarganya serta untuk baik dengan tetangganya akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dengan mukanya bagaikan bulan purnama dan siapa yang mencari dunia halal untuk memperbanyak, berbangga serta sombong akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat sedang Allah murka padanya.” (HR Baihaqi).

Ingatlah, pekerjaan itu tidak sekadar untuk mendapatkan gaji semata-mata, bahkan sebagai ladang untuk memperoleh ganjaran pahala jika benar-benar dilakukan menurut jalan yang diredai Allah SWT. Apabila kita ikhlas dalam melakukan pekerjaan, maka datanglah keberkatan yang dijamin oleh Allah SWT.

Sumber: Harian Metro (4 Mei 2023)