Semakin hari dunia semakin menakutkan. Manakan tidak, ia menjadi amat menakutkan apabila timbulnya pelbagai ajaran sesat yang bukan sahaja mempengaruhi golongan muda, bahkan golongan bekeluarga juga turut terkena tempiasnya. Sebagai contoh, ajaran sesat ‘Si Hulk’ yang semakin hari semakin membimbangkan. Semakin hari pengikut ajaran sesat ini semakin berani menampilkan diri di khalayak ramai dan mengakui ajaran yang dibawa oleh ‘Si Hulk’ atau nama sebenarnya Suhaini Muhammad itu adalah ‘benar’.
Ini sesuatu yang amat membimbangkan kerana pengikutnya semakin bertambah walaupun pengasasnya melarikan diri ke New Zealand bersama sejumlah para pengikutnya dan cuba untuk mendapatkan suaka dari kerajaan di sana atas alasan ancaman. Persoalannya, sekiranya ajaran yang didakwa itu ‘benar’, mengapa perlu lari dan meminta suaka atas alasan ancaman? Sehingga artikel ini ditulis, tidak ada satu pun pengamal ajaran sesat yang ditangkap di negara ini diancam dengan hukuman mati mandatori. Ia cuma ditangkap, dipenjara, disebat dan diarahkan membayar denda. Ini menunjukkan jelas bahawa ajaran yang dibawa itu sesat dan lari daripada landasan akidah umat Islam.
Sudah nampak bukan permainan sang iblis dalam menyesatkan manusia? Inilah tipu muslihat iblis yang sentiasa ingin menyesatkan manusia hingga ke akhir zaman. Malah pemimpin negara seperti Yang Di – Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menasihatkan umat Islam untuk tidak terlalu jauh menyimpang dari landasan yang ditinggalkan Rasulullah SAW. Untuk rekod, ajaran ‘Si Hulk’ ini difatwakan sesat kerana perkara yang menyeleweng tentang Nabi Muhammad SAW dan Allah SWT. Ajaran ini mendakwa Nabi Muhammad SAW sebagai tuhan, Baginda tidak mempunyai jantina, menafsir sendiri sebuah hadis dengan menyatakan Baginda juga tiada kemaluan dan sebagainya.
Wahai umat Islam sekelian, usahlah terperdaya dengan segala permainan dan tipu helah dari syaitan kerana syaitan itu sesat lagi menyesatkan. Ia menggunakan manusia untuk melakukan kerja jahatnya menyesatkan manusia yang lainnya. Perkara ini telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Al – Mujadilah, ayat 10 yang bermaksud:
“Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.”
Maka dari itu, marilah kita bersama – sama memperkukuhkan benteng keimanan kita dari dihasut dengan anasir – anasir permainan syaitan. Ingatlah, syaitan tidak akan pernah berhenti dalam menganggu kita agar benteng keimanan kita goyah dan menyesatkan kita. Pohonlah daripada Allah SWT agar kita sentiasa dilindungi daripada tipu daya sang iblis laknatullah ini. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).” (QS Al – Araaf: 201).
Sumber: Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM)