Wujud segelintir dalam masyarakat Melayu-Islam pada hari ini terlalu gemar untuk mencari ‘rahsia’ di dalam Islam itu sehingga tidak mengutamakan perkara yang asas dalam agama. Contohnya ada yang menyebarkan fahaman tentang mimpi yang diterimanya dan paling tidak masuk akal ianya mampu untuk menarik ribuan pengikut meskipun hanya sekadar mimpi.
Penglibatan golongan profesional sebagai pengikut ajaran sesat juga menjadi persoalan mengapa ianya boleh terjadi sedangkan mereka adalah golongan bijak pandai. Perkara paling asas yang perlu difahami adalah tidak semua orang yang profesional itu mempunyai asas dalam beragama atau mampu menilai rasional setiap dakwaan seseorang yang kononnya bergelar guru dan mahu mencari jalan singkat menuju ke syurga.
Akibat mahu mencari jalan pintas untuk mendapat redha Allah SWT, mereka terjerumus dalam kancah yang amat bahaya sehingga merosakkan keimanan, tauhid dan akidah secara keseluruhan, seterusnya membelakangi setiap panduan yang sudah dinyatakan oleh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Realitinya ajaran sesat di negara ini memang tidak akan berakhir kerana ia sentiasa berevolusi seiring dengan perkembangan pemikiran kontemporari, cara hidup manusia dan tabiat kemanusiaan itu sendiri.
Justeru itu, kembalilah kepada Allah SWT dengan sentiasa bermuhasabah, menguasai disiplin ilmu Ahli Sunnah Wal Jamaah, beriman, beramal soleh dan berakhlah mulia sebagaimana Nabi Muhammad SAW.
Sumber: Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA)