Home Kemanusiaan/Motivasi FENOMENA SALJI DI ARAB SAUDI TANDA KIAMAT PERSIAPKAN AMALAN, BUKAN TEGANGKAN KEADAAN

FENOMENA SALJI DI ARAB SAUDI TANDA KIAMAT PERSIAPKAN AMALAN, BUKAN TEGANGKAN KEADAAN

34
0

Baru – baru ini, salah satu kawasan gurun kering di Arab Saudi iaitu di Wilayah al-Jawf dilanda fenomena salji yang merupakan pertama kali. Maka, ramai di kalangan netizen mengaitkan fenomena itu dengan mengatakan bahawa ‘kiamat sudah terlalu hampir’. Bukan itu sahaja, beberapa individu berkenaan mengaitkan dengan hadis Nabi SAW:

“Akan berperang tiga pihak di sisi Kaabah, semuanya daripada kalangan putera raja. Tidak ada seorang pun yang bakal beroleh takhta yang direbutkan. Kemudian muncul panji hitam dari arah timur, maka mereka memerangi kamu dengan peperangan yang kamu tidak pernah hadapi. (Kemudian Nabi SAW menyebutkan beberapa perkara yang tidak diingati perawi.) Sekiranya kamu sempat dengannya maka berbaiahlah kepadanya sekalipun terpaksa merangkak di atas salji kerana sesungguhnya dialah khalifah Allah al-Mahdi.” (HR Ibnu Majah).

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh secara mutlak menyatakan bahawa kejadian berlaku pada hari ini adalah tanda sama yang diisyaratkan menerusi hadis, kerana wujud kemungkinan ia tidak seperti yang kita fikirkan. Perkara ini adalah kekuasaan Allah SWT yang dapat menukar sesuatu kawasan daripada gurun yang kering dan gersang kepada kehidupan menghijau serta sungai mengalir dalam masa yang sama sebagai panduan dan pedoman kepada manusia tentang situasi akhir zaman yang semakin hampir berlaku.

Imam Nawawi RA berkata mengenai pengertian kembalinya negeri Arab sebagai padang rumput dan sungai adalah seperti berikut:

“Maknanya – Wallahu a’lam – bahawa mereka (penduduknya) akan meninggalkan dan menjauhinya sehingga menjadi tidak terurus, tidak ditanam dan tidak disiram dengan airnya. Perkara ini terjadi kerana kurangnya lelaki, banyaknya peperangan, bertompok-tompok fitnah, dekatnya hari kiamat, nipisnya pengharapan dan tidak adanya perhatian untuk mengelolanya.”

Situasi ini adalah kemukjizatan yang hebat mengenai perkhabaran masa lampau yang tidak pernah diketahui oleh orang Arab sebelum ini. Kedudukan tanah Arab akan mula bertukar daripada kering kepada menghijau dengan tumbuhan dan sungai yang mengalir di samping penemuan kuantiti simpanan air yang cukup banyak yang dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan kawasan pertanian yang luas.

Nabi SAW bersabda bahawa salah satu daripada tanda kiamat adalah Semenanjung Arab akan menjadi padang rumput dan sungai yang mengalir. Sabda Baginda:

“Tiada berlakunya kiamat sehingga harta melimpah-ruah, sehingga seseorang keluar dengan membawa zakat hartanya, namun tidak menjumpai orang yang layak menerimanya. Tidak berlakunya kiamat sehingga Tanah Arab kembali hijau dipenuhi sungai.” (HR Muslim).

Walaupun hadis di atas satu perkara yang nyata dan bakal berlaku, namun kita tidak boleh sewenang – wenangnya menimbulkan satu situasi yang panik melainkan memberi peringatan agar mempersiapkan diri kita dengan segala amalan yang ada. Memang benar seperti hadis – hadis Nabi tentang akhirat, namun ia bukanlah lesen buat kita untuk menimbulkan satu situasi yang tegang sehingga mencetuskan ketakutan yang melampau kepada manusia lainnya.

Hakikatnya, tanda – tanda kiamat itu sudah lama berlaku bahkan ketika di zaman para Nabi lagi. Rasulullah SAW bersabda:

“Jarak diutusnya aku dan hari Kiamat seperti dua (jari) ini.” Baginda memberikan isyarat dengan kedua jarinya (jari telunjuk dan jari tengah), lalu merenggangkannya.” (HR Bukhari).

Oleh itu, marilah sama-sama kita meningkatkan amalan dan memperbanyakkannya dengan penuh keikhlasan agar kita membawa bekalan sebaik-baiknya di hadapan Allah pada hari akhirat kelak. Benarlah firman Allah SWT:

“Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah).” (QS Al – Baqarah: 197).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan