Home Kemanusiaan/Motivasi KASIH SAYANG ASAS PENGUKUHAN DAN KESEJAHTERAAN UMMAH

KASIH SAYANG ASAS PENGUKUHAN DAN KESEJAHTERAAN UMMAH

668
0

Sudah menjadi fitrah manusia, untuk hidup dalam rukun, aman dan berkasih sayang. Kasih sayang ini tidak hanya meliputi pautan dua hati, tetapi juga ia merangkumi seluruh isi alam semesta ciptaan Allah SWT yang maha kuasa. Tidak kiralah, kasih sayang terhadap manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain, setiap daripada kita pasti mempunyai satu rasa empati di dalam diri. Lalu, bagaimana kita hendak menyebarkan kasih sayang bagi menggalakkan lagi pengukuhan ummah?

Firman Allah SWT:

“Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Melainkan mereka yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah (kasih sayang) mereka diciptakan.” (QS al-Hud: 118-119)

Islam mengajar kita bahawa seorang Muslim yang beriman akan memegang prinsip asas di mana jika kita tidak dapat memberi manfaat kepada seseorang, maka jangan memudaratkan mereka. Jika kita tidak dapat menggembirakan, maka jangan sedihkan mereka. Jika kita tidak dapat memuji, janganlah mengeji.

Allah SWT menciptakan manusia supaya dapat berkasih sayang antara satu sama lain. Namun, jika persengketaan menjadi pilihan, maka Allah SWT akan menghukum mereka dengan kehinaan. Oleh itu, kita melihat nama ar-Rahman adalah salah satu nama dan sifat Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri.” (HR Bukhari dan Muslim)

Islam menekankan bahawa menggembirakan orang lain adalah satu kewajipan. Kata-kata pujangga menyebut: “Lakukanlah kebaikan kepada sesiapa sahaja. Jika kebaikan dilakukan pada orang yang betul, maka benarlah kamu. Dan jika dilakukan kepada orang yang salah maka kamu juga sebahagian daripada kebaikan”. Kasih sayang terbina atas sifat rahmat Allah SWT terhadap hamba-Nya, kerana itulah manusia diciptakan dan di situlah terbentuknya asas pengukuhan dan kesejahteraan ummah.

Sumber: Berita Harian “Kasih sayang asas penyatuan ummah” (23 Disember 2015) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)