Ajaran sesat seperti “Ahmadi Religion of Peace and Light” (AROPL) sering tampil dengan wajah lembut dan mesej kedamaian, tetapi di sebalik itu tersembunyi fahaman yang boleh memesongkan akidah umat Islam.
Berdasarkan ‘posting’ yang dikongsikan oleh pengikut AROPL di medium media sosial Facebook, dapat dilihat pendekatan mereka sangat tersusun iaitu dengan menggunakan bahasa lembut, hujah “ilmiah” dan petikan agama untuk menarik simpati. Mereka cuba menampilkan seolah-olah ajaran mereka selari dengan Islam arus perdana, bahkan mendakwa hanya berbeza dari segi tafsiran. Namun, di sebalik naratif itu mereka secara tersirat mempertahankan kedudukan pengasas mereka sebagai Imam Mahdi yang menerima wahyu daripada Allah SWT.
Isi penting dalam ‘posting’ itu juga menunjukkan cubaan mengelirukan konsep kenabian dengan menyatakan bahawa masih ada bentuk kenabian selepas Nabi Muhammad SAW. Selain itu, mereka sering menafsir ayat-ayat Al-Quran di luar konteks sebenar dan menolak kefahaman ulama muktabar. Mereka juga cuba menggambarkan bahawa penolakan terhadap ajaran mereka adalah hasil salah faham, sedangkan hakikatnya ia telah dinilai dan difatwakan sesat oleh majoriti institusi agama Islam termasuklah Malaysia.
Justeru itu, umat Islam perlu lebih peka terhadap corak penyebaran seperti ini, khususnya di media sosial yang mudah mempengaruhi emosi dan pemikiran. Jangan terpedaya dengan gaya penyampaian yang nampak sopan dan rasional kerana penyimpangan akidah sering datang dalam bentuk yang tidak agresif. Sentiasa rujuk sumber sahih dan berautoriti serta kukuhkan asas akidah agar tidak mudah dipengaruhi oleh naratif songsang yang boleh menggugat pegangan Islam sebenar.
Sumber: Jurnal Usuluddin 52(2) – Universiti Malaya dan https://www.facebook.com/share/p/1DomeTYbzq/








