Isu tular seorang wanita bertudung yang mempromosikan pakaian dalam dengan cara memakainya sendiri di media sosial mengundang teguran ramai, termasuk pihak berautoriti agama. Tindakan tersebut dilihat tidak selari dengan imej seorang Muslimah serta melampaui batas kesopanan, walaupun atas alasan pemasaran dan perniagaan. Fenomena ini juga mencerminkan trend segelintir peniaga yang sanggup mengetepikan nilai agama demi meraih perhatian dan keuntungan.
Mufti Kelantan turut menegaskan bahawa promosi jualan dibenarkan dalam Islam, namun pendekatan yang digunakan mesti berlandaskan syariah dan tidak melanggar batas agama. Teguran ini jelas menunjukkan bahawa dalam mencari rezeki, umat Islam tetap terikat dengan adab, maruah dan etika yang perlu dijaga agar tidak mencemarkan imej diri serta agama.
Allah SWT berfirman: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka…” (Surah An-Nur: 31). Ayat ini menjadi peringatan bahawa menjaga aurat dan maruah adalah tuntutan asas dalam Islam. Justeru itu, umat Islam khususnya wanita perlu lebih berhati-hati dalam menghasilkan kandungan di media sosial agar tidak terjebak dengan normalisasi perkara yang bertentangan dengan syariat.








