Memang tidak dapat dinafikan apabila tibanya bulan Ramadan, pelbagai tawaran barangan dan makanan banyak di pasaran menjadikan kita rambang mata. Namun perlu diingatkan, ia bukan tiket buat umat Islam untuk menjadi seorang yang tamak dan boros di bulan yang mulia ini. Saban tahun di sepanjang bulan Ramadan, pasti akan berlaku pelbagai pembaziran terutama sekali makanan akibat sifat tamak manusia. Maka sia-sialah kita berpuasa pada hari itu kerana tidak memperolehi pahala youpuasa.
Daripada Umar bin al-Khattab RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila malam telah menghadap ke sebelah timur dan siang pula telah berlalu daripada barat kemudian matahari telah terbenam bermulalah waktu orang yang berpuasa itu berbuka.” (HR Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan hadis di atas, dapat dihuraikan bahawa orang yang berpuasa dituntut menyediakan bahan makanan atau minuman sekadar keperluan sahaja dan tidak melampaui batasan sehingga sampai berlaku pembaziran. Sekadar pengetahuan umum, satu kajian telah dilakukan dan menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding purata pada bulan lain. Ini bermakna sebanyak 10,000 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah di seluruh negara setiap hari sepanjang Ramadan. Tahukah kita, dengan jumlah tersebut ia mampu untuk memberi makan satu setengah kali penduduk Malaysia?
Umat Islam perlu diingatkan bahawa puasa adalah satu ibadah, satu cara untuk menjadi lebih bertimbang rasa terhadap mereka yang memerlukan dan peluang untuk lebih mendekati Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (QS Al – Isra: 27).
Sesungguhnya sifat tamak telah terbukti boleh menyebabkan manusia ditimpa kehancuran dan mendapat kemurkaan Allah SWT. Bayangkan betapa besar pembaziran berlaku dan berapa ramai pula golongan kelaparan mampu kenyang sekiranya makanan itu dimanfaatkan sebaik mungkin. Semua orang sedar tentang berlakunya pembaziran dalam bulan Ramadan ini, namun kerana nafsu selera yang membuak sebelum berbuka, ‘dosa᾿itu terus diketepikan.
Marilah kita perbetulkan semula ‘kesilapan᾿ yang sering kita lakukan dalam bulan bulan yang mulia ini. Bulan Ramadan ini sepatutnya kita melatih diri kita untuk menjadi seorang yang lebih bersederhana. Alangkah baiknya sepanjang bulan Ramadan kita sama-sama berbahagi rezeki bantu mereka yang kurang bernasib baik. Hayati Ramadan sebagai bulan bersedekah, elakkan pembaziran, lebihkan ibadat dan sentiasa bersyukur atas nikmat kurniaan Allah SWT.
Sumber: Sinar Harian (12 April 2021)