Isu penghinaan terhadap agama Islam kembali mencetuskan kemarahan apabila tular satu situasi melibatkan seorang penumpang e-hailing yang secara terbuka menghina Islam. Dalam rakaman tersebut, individu berkenaan mendakwa al-Quran sebagai “book of killing” dan mengaitkannya dengan keganasan, sambil menolak ajaran Islam secara terang-terangan. Tindakan ini bukan sahaja biadab, malah jelas mencabar sensitiviti umat Islam yang menjunjung tinggi kesucian agama mereka.
Lebih menyentuh hati, pemandu e-hailing yang beragama Islam tampil mempertahankan akidahnya dengan penuh ketegasan namun masih beradab. Beliau mengingatkan agar penumpang tersebut berhati-hati dalam percakapan serta tidak sewenang-wenangnya menghina agama orang lain. Situasi ini menggambarkan realiti membimbangkan apabila ada segelintir individu khususnya golongan murtad, memilih untuk bukan sekadar meninggalkan agama, tetapi turut menghina dan memperlekehkan Islam secara terbuka.
Islam jelas melarang penghinaan terhadap agama, malah menyeru umatnya menjaga adab dan menghormati kepercayaan. Firman Allah dalam Surah Al-An’am ayat 108: “Dan janganlah kamu mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan mencela Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.”
Ayat ini bukan sahaja melarang umat Islam menghina agama lain, tetapi juga memberi peringatan bahawa penghinaan agama akan membawa kepada permusuhan dan kebencian. Justeru itu, semua pihak perlu sedar bahawa kebebasan bersuara bukan tiket untuk menghina agama. Hormatilah batas, jagalah adab dan hentikan budaya mencerca kepercayaan orang lain.








