Home Kemanusiaan/Motivasi BERHATI-HATILAH!!! JANGAN MUDAH PERCAYA DENGAN BERITA DARI GOLONGAN YANG ‘FASIK’ SEBALIKNYA SELIDIKLAH...

BERHATI-HATILAH!!! JANGAN MUDAH PERCAYA DENGAN BERITA DARI GOLONGAN YANG ‘FASIK’ SEBALIKNYA SELIDIKLAH DAHULU KEBENARANNYA AGAR TIDAK MENDATANGKAN KEMUDARATAN

709
0

Allah SWT memerintahkan supaya menyelidik serta mendapat kebenaran berita yang disampaikan seseorang terlebih dahulu. Apatah lagi jika berita tersebut datangnya daripada golongan orang yang fasik (yang bermaksiat kepada Allah SWT) dan yang tidak mahu melihat umat Islam ini bersatu dan hidup dalam rukun dan damai. Menyelidek kebenaran berita yang dibawa oleh golongan fasik ini adalah penting bagi mengelak daripada terjadinya perkara yang tidak diingini berlaku. Allah SWT menjelaskan perkara ini di dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (QS al-Hujurat: 6).

Mungkin sudah lumrah manusia, mudah terhasut dengan sesuatu perkara yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Samalah juga dengan situasi yang berlaku pada ketika ini apabila ada sesetengah pihak yang cuba bermain politik dengan memanipulasikan situasi genting yang berlaku pada ketika ini. Dikhabarkan ada satu perhimpunan haram berkaitan pengeluaran caruman KWSP yang bakal berlangsung selepas solat Jumaat hari ini (31/12/2021) dan ia tidak mendapat sebarang permit yang membenarkan perhimpunan diadakan. Dengan kata lain, perhimpunan tersebut adalah perhimpunan haram.

Wahai umat Islam, jangan mudah terpengaruh dan terhasut dengan permainan politik segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab! Selidikilah dahulu adakah perkara tersebut dibenarkan oleh pihak berkuasa mahupun kepimpinan negara. Jangan kita terjerumus ke lembah dosa kerana terpengaruh dengan sesuatu yang belum pasti akan kesahihannya. Mungkin perhimpunan ini adalah salah satu bentuk ‘mainan politik’ pihak tertentu untuk mengaut keuntungan dalam keadaan getir sekarang ini, lalu menjadikan rakyat sebagai ‘umpan’ untuk melaksanakan agenda mereka.

Sepatutnya jika ada sesuatu cadangan atau salah faham, maka seelok solusinya adalah melalui musyawarah. Berbincanglah dengan pihak yang berkaitan atau melalui saluran politik tertentu, bukannya dengan mengajak rakyat untuk mengadakan perhimpunan haram demi mencapai agenda kumpulan tertentu ini. Mungkin ada sebab-sebab tertentu mengapa sesuatu perkara itu yang dijadikan isu sekarang ini (pengeluaran wang kwsp dengan satu jumlah sekaligus) tidak dapat dilaksanakan oleh kepimpinan negara. Jadi, sebagai rakyat kita harus akur dengan saranan pucuk pimpinan. Jangan kerana terlalu ikutkan amarah dan emosi, kita pula yang bakal mendapat mudarat di kemudian hari. Jangan mudah tertipu dan terhasut dengan mainan politik pihak tertentu atau kumpulan tertentu kerana kebanyakannya mengikut nafsu dan kehendak sendiri. Seperti nasihat Syaikh Ibnu Utsaimin Rahimahullah:

“Janganlah engkau tertipu dengan amalan manusia, kerana amalan manusia terkadang berasal dari kebodohan, maka tolak ukur sesuatu itu dengan apa yang telah disyariatkan oleh dalil dan bukan dengan amalan manusia.” (Kitab al – Qoulu al – Mufid, 1/204).

Oleh itu, sentiasalah selidik dahulu kebenaran sesuatu info tentang tujuan pelaksanaan sesuatu perkara agar kita tidak memudaratkan diri sendiri. Seperti perhimpunan haram ini, sudah pasti pelaksanaannya ‘ada udang di sebalik batu’. Kalau benar ini untuk kemaslahatan rakyat, mengapa perlu adanya demonstrasi? Mengapa tidak dibincangkan secara empat mata sahaja dalam mencapai solusi? Jangan sesekali mudah teperdaya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan