Nama Muhammad Ilman Syahir, yang memperkenalkan dirinya sebagai pelajar USIM dalam bidang Fatwa, kini menjadi perhatian susulan beberapa kenyataan berkaitan persoalan akidah di media sosial. Beliau yang telah digantung pentauliahannya di Negeri Sembilan dikaitkan dengan akaun @malaysiabertauhidofficial, banyak membincangkan isu Tauhid serta pendekatan Salafi, termasuk mempertikaikan kefahaman akidah Asya‘irah dan Maturidiah yang menjadi sebahagian daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) bagi umat Islam di Malaysia.
Antara kandungan yang dipaparkan ialah dakwaan bahawa terdapat perkara dalam akidah Asya‘irah dan Maturidiah yang bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah, selain seruan supaya umat Islam tidak terlibat dengan perbahasan berkaitan Asya‘irah dan Maturidiyyah. Kenyataan sedemikian boleh menimbulkan kekeliruan, khususnya apabila perbahasan akidah yang kompleks disampaikan secara ringkas di media sosial tanpa penelitian dan bimbingan ilmuwan yang berautoriti.
Umat Islam di Malaysia diseru agar tidak mudah menerima setiap dakwaan agama yang tular di media sosial, walaupun ia disampaikan dengan istilah agama atau kelihatan meyakinkan. Sebarang persoalan berkaitan akidah dan fahaman agama wajar dirujuk kepada Jabatan Mufti, institusi agama negeri serta ulama yang diiktiraf, supaya masyarakat tidak terpengaruh dengan fahaman yang boleh mengelirukan pegangan ASWJ dan keharmonian umat Islam.








