Home Ateis ATEIS YANG SESAT DAN BIADAB!!! MENDAKWA: “TUHAN TIDAK WUJUD, HANYA DIADA-ADAKAN...

ATEIS YANG SESAT DAN BIADAB!!! MENDAKWA: “TUHAN TIDAK WUJUD, HANYA DIADA-ADAKAN DAN KINI PERLU DILENYAPKAN KERANA ZAMAN TELAH MODEN YANG TIDAK LAGI MEMERLUKAN TUHAN”

618
0

Golongan ateis mendakwa manusia sengaja mencipta Tuhan untuk tujuan kawalan sosial ke atas kehidupan manusia. Oleh itu, pada mereka Tuhan itu sekadar diada-adakan dan sudah tiba masanya untuk Tuhan itu ditiadakan kerana dunia sudah maju dan canggih.

Dakwaan ini jelas satu kebiadapan, kepalsuan dan kesesatan yang amat besar kerana Islam yang diajarkan oleh setiap nabi mengkhabarkan tentang kewujudan Tuhan (Allah) dengan bukti yang jelas. Sedangkan nabi-nabi yang membawa perkhabaran tersebut telah didatangkan dengan pembuktian yang jelas dan diberikan mukjizat tertentu yang tidak mampu dibantah oleh umat di zaman mereka mengenai kewujudan Allah sebagai Tuhan Yang Maha Esa. Sebagai contoh ketika di zaman Nabi Musa, masyarakat mahir dengan ilmu sihir maka Allah memberikan mukjizat kepada Nabi Musa yang mengatasi sihir mereka untuk membuktikan kewujudan dan kekuasaan Allah. Ketika zaman Nabi Isa, masyarakat sangat menguasai ilmu perubatan maka mukjizat Nabi Isa mengatasi ilmu ketika itu. Demikianlah juga pada zaman Nabi Muhammad SAW, masyarakat setempat begitu menyanjung ilmu syair dan sastera maka turun al-Quran dengan isi kandungannya dan keindahan bahasa al-Quran itu sendiri tidak dapat ditandingi oleh seluruh pakar sastera Arab ketika itu hinggalah ke zaman sekarang, yang membuktikan bahawa al-Quran itu datangnya daripada Allah, Tuhan pencipta semua makhluk di langit dan di bumi ini.

Hal ini membuktikan bahawa agama Islam tidak mencipta Tuhan sendiri sebagai kawalan sosial, tetapi ia benar-benar daripada Tuhan yang menciptakan segalanya. Hal ini terbukti apabila undang-undang yang digubal oleh akal manusia belum mampu mengatasi isu jenayah yang berbangkit. Berbeza dengan negara Islam terdahulu yang benar-benar menjalankan hukum Islam yang diturunkan oleh Allah melalui al-Quran dan diberi panduan oleh Rasulullah SAW sehingga dapat mengekang pertumbuhan kadar jenayah ketika itu.

Golongan ateis yang mendakwa Tuhan mempunyai banyak versi dalam pelbagai agama yang menunjukkan Tuhan tidak wujud sepatutnya perlu mengkaji Islam dengan sebaik mungkin agar dapat menyedari keistimewaan agama Islam seperti dilakukan oleh Brother Tim (Abdul Raheem), seorang warga Barat tegar dengan kefahaman ateis yang akhirnya memeluk Islam dan menjadi pendakwah Islam yang gigih.

Hal ini kerana Islam berpegang teguh dengan sifat Allah ‘Mukhalafatuhu Lil Hawadis’ iaitu tidak sama Allah dengan segala yang baru. Oleh sebab itu, Islam satu-satunya agama yang tidak menggambarkan bentuk fizikal atau zat Tuhan kerana dalam al-Quran dan hadis tiada satu pun ayat yang menggambarkan zat Allah. Oleh itu, sudah tentulah Islam merupakan agama yang benar yang datangnya daripada Allah SWT dan dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW untuk memimpin kehidupan manusia di muka bumi ini.

Sumber: Harian Metro, 10 Ogos 2020.