Kes “Op Pedo 3.0” mengejutkan negara apabila seramai 53 individu ditahan dalam operasi membanteras eksploitasi seksual dalam talian. Apa yang lebih menggemparkan, turut dikesan ialah penglibatan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dipercayai terlibat dalam penghasilan kandungan tidak bermoral di platform digital.
Lebih mengejutkan, siasatan turut mendedahkan penglibatan dua individu dalam sektor pendidikan, seorang guru berusia 24 tahun dari Pahang dan seorang pembantu makmal berusia 44 tahun dari Terengganu. Situasi ini menimbulkan kebimbangan serius apabila golongan yang sepatutnya melindungi dan mendidik, didapati terlibat dalam rangkaian jenayah yang sama. Ini menunjukkan gejala pedofilia dan eksploitasi kanak-kanak bukan lagi kes terpencil, tetapi sudah mula menyusup dalam pelbagai lapisan masyarakat.
Pedofilia adalah jenayah yang merosakkan masa depan generasi muda. Ia bukan sekadar salah laku, tetapi satu bentuk eksploitasi yang meninggalkan kesan trauma jangka panjang kepada mangsa. Dalam Islam, Allah SWT memberi amaran: “Janganlah kamu mendekati zina, kerana ia adalah perbuatan keji dan jalan yang buruk.” (Surah Al-Isra’, 17:32)
Masyarakat perlu lebih peka dan tidak mengambil ringan isu ini. Ibu bapa perlu memantau aktiviti digital anak-anak, manakala masyarakat perlu berani melaporkan sebarang unsur mencurigakan. Sekali anak terjerat dalam dunia eksploitasi dan kandungan lucah, kesannya boleh merosakkan emosi, mental dan masa depan mereka secara kekal.
#pedofilia #eksploitasikanak-kanak #seksual #pedo #jenayah




