Dalam memperjuangkan khilafahnya, Hizbut Tahrir mendakwa pertubuhannya sebagai sebuah parti politik Islam dimana politik merupakan aktivitinya dan Islam sebagai ideologinya. Dari awal penubuhannya pada tahun 1953, Hizbut Tahrir dilihat telah berkembang hingga ke sekitar 40 buah negara di seluruh dunia termasuk juga di negara-negara bukan Islam.
Melihat kepada tujuan pergerakan Hizbut Tahrir itu sendiri, sebenarnya tujuan pergerakannya adalah untuk mendirikan Khilafah Islamiyah di muka bumi ini di peringkat global. Posisi dan sikap yang diambil oleh Hizbut Tahrir ini sebenarnya menyamai kumpulan pengganas dan ekstremis yang lain seperti Daesh, Al-Qaeda, Jemaah Islamiyah dan sebagainya, yang juga turut memperjuangkan misi untuk menegakkan Khalifah di peringkat global.
Sehubungan itu, pergerakan Hizbut Tahrir juga boleh dikategorikan sebagai kelompok ekstremis jika merujuk kepada faktor-faktor ekstremisme yang dikemukakan oleh Hartleb (2012): “kecenderungan politik, skop moral dan hubungan (kawan-lawan), ilusi harmonisasi dunia di masa hadapan dan memiliki pemimpin yang berkarisma untuk mentadbir seluruh dunia.”
Perkembangan Hizbut Tahrir sebagai organisasi politik berideologi Islam dengan misi perjuangan untuk menegakkan Khalifah Islam di peringkat global ini perlu dilihat sebagai suatu isu antarabangsa yang berpotensi mengancam kestabilan dan keamanan dunia. Hizbut Tahrir yang pada awalnya yang didirikan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani cenderung menggunakan metod persuasif, jauh dari kekerasan apalagi tindakan terorisme untuk menjalankan misi utamanya.
Namun, pada akhir 80an, struktur kepimpinan Hizbut Tahrir yang beralih ke generasi muda dan merasakan Hizbut Tahrir tidak progresif dalam upaya pencapaian misi mereka lalu bertindak lebih agresif melalui ‘perang saraf’ dan secara gerakan bawah tanah dengan mengumpul kekuatan anggota dalam skala global untuk merubah dunia.
Justeru itu, pihak berkuasa di seluruh dunia perlu bertindak untuk membendung pengaruh Hizbut Tahrir daripada terus berkembang kerana pergerakan tersebut akan mempromosi keganasan demi mencapai tujuan menegakkan Khalifah Islamiyah di peringkat global. Perkara ini sangat perlu memandangkan pertubuhan Hizbut Tahrir ini berbentuk transnasional di mana visi politiknya adalah untuk menyatukan identiti-identiti Islam di peringkat global dan tempatan di bawah satu autoriti tunggal iaitu Khalifah Islam. Apa yang perlu diambil peringatan ialah tidak mustahil mereka yang terpengaruh dengan ideologi Hizbut Tahrir ini akan bertindak melakukan aksi keganasan jika mereka mula didedahkan dengan pemahaman jihad menurut fahaman kumpulan teroris yang lain.
Sumber: Al-Fikra: Jurnal Ilmiah Keislaman, Vol. 17, No. 1(2018), Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau, Indonesia