Home Kemanusiaan/Motivasi BERSIFAT PENYAYANG DAN LEMAH LEMBUT TANDA KESEMPURNAAN IMAN

BERSIFAT PENYAYANG DAN LEMAH LEMBUT TANDA KESEMPURNAAN IMAN

1874
0

Dalam meniti kehidupan seharian, umat Islam disarankan supaya sentiasa bermuhasabah diri terhadap setiap amalan yang dilakukannya. Rasulullah SAW telah mengajarkan kita bahawa setiap perbuatan haruslah diawali dengan bismillahirrahmanirrahim, yang bermaksud dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang dan melafazkan Alhamdulillah setelah melaksanakan sesuatu tugasan.

Bila berbicara tentang sifat penyayang, sudah pasti ia akan berkait dengan sifat lemah lembut. Sesungguhnya, umat Islam amat dituntut untuk memiliki sifat tersebut kerana sifat tersebut sangat dicintai oleh Allah SWT dan ia merupakan salah satu sifat peribadi Rasulullah SAW. Daripada Aisyah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya sifat lemah-lembut tidak terdapat pada sesuatu melainkan ia menambah keelokan, dan tidak dicabut pada sesuatu perkara melainkan sebagai celaan padanya.” (HR Muslim)

Memiliki sifat lemah lembut dan penyayang akan menjadikan seseorang cantik pada pandangan manusia dan disisi Allah SWT sebaliknya kekerasan menjadikan seseorang dicela disisi Allah dan pada pandangan manusia kerana Allah hanya sayang kepada orang yang baik akhlaknya.

Justeru, marilah kita mempraktikkan sifat lemah lembut dan penyayang di antara satu sama lain mulai dari hari ini. Kerana bersikap lemah lembut dan penyayang merupakan tanda kesempurnaan iman seseorang Muslim. Ayuh miliki sifat rahmah – lemah lembut dan penyayang terhadap orang lain. Moga kita menjadi warganegara yang saling mencintai.

Sabda Rasulullah SAW:

“Kalian tidak masuk syurga hingga kalian beriman dan belum sempurna keimanan kalian hingga kalian saling mencintai” (HR Muslim: 81).

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Berita Harian “Memupuk sifat penyayang dalam masyarakat” (13 Mac 2015)