Seorang Muslim dengan Muslim yang lainnya adalah bersaudara. Maka, tidak sepatutnya ada kebencian yang tertanam dalam diri setiap muslim. Namun, pada hari ini keadaan menjadi sebaliknya apabila ada Muslim yang sanggup bermusuhan sesama sendiri demi untuk kepentingan dan hawa nafsu sendiri. Ketahuilah, amalan permusuhan yang berpanjangan dan sifat dengki yang menguasai akhlak Muslim akan menjadi barah yang merosakkan sifat dan pekertinya.
Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara, karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu, dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (QS al-Hujurat: 10)
Kini, pelbagai cara yang dilakukan demi untuk menyebarkan kebencian dan menggalakkan perpecahan di kalangan umat Islam, salah satunya melalui propaganda media sosial. Hal ini sangat mendukacitakan apatah lagi ia datang dari kalangan setiap peringkat generasi baik yang muda mahupun yang tua. Ini tidak sepatutnya dibiarkan kerana dikhuatiri akan menjejaskan maruah agama dan keharmonian negara.
Seharusnya, semua umat Islam perlu bersatu dan menyebarkan kasih sayang sesama sendiri. Hal ini kerana itu yang dianjurkan dalam agama Islam dan sepatutnya ia menjadi satu toleransi di kalangan penduduk negara ini. Sesungguhnya manusia itu lahir ke dunia ini dengan adanya mawaddah dan rahmah iaitu cinta dan kasih sayang. Kita lahir ke dunia ini kerana wujudnya kasih sayang Allah yang bersifat Al-Rahman.
Sabda Rasulullah SAW:
“Janganlah engkau semua saling benci-membenci, saling dengki-mendengki, saling belakang-membelakangi dan saling putus-memutuskan ikatan persahabatan atau kekeluargaan dan jadilah engkau semua hamba-hamba Allah sebagai saudara-saudara. Tidaklah halal bagi seseorang Muslim kalau ia meninggalkan yakni tidak menyapa saudaranya lebih dari tiga hari.” (HR Bukhari dan Muslim)
Kasih sayang membentuk kehidupan masyarakat yang sejahtera. Daripada kasih sayang itu akan lahirlah sifat sabar, prihatin, bertolak ansur dan toleransi, lemah lembut, sopan santun, pemaaf dan banyak lagi sifat mahmudah dan nilai-nilai positif yang lain. Oleh itu, jauhi sifat kebencian dan semaikan kasih sayang dalam kalangan makhluk Allah SWT.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Blog Bicara Menteri (bicaramenteri.blogspot.com)