Home Kemanusiaan/Motivasi BERSIKAP SEDERHANA DAN TIDAK MELAMPAU ADALAH TUNTUTAN AGAMA

BERSIKAP SEDERHANA DAN TIDAK MELAMPAU ADALAH TUNTUTAN AGAMA

816
0

Islam merupakan agama yang bersifat dengan sederhana iaitu tidak memberatkan dan juga tidak terlalu memudahkan kepada penganutnya. Ini juga merupakan keindahan Islam berbanding agama-agama lain yang sebahagiannya bersifat terlalu keras di dalam sesuatu perkara. Islam tidak akan sesekali menyusah penganutnya, namun kita tidak lah boleh mengambil ringan apa yang diajarinya. Sebagai contoh etika pemakaian, ini adalah perkara yang wajib dipatuhi oleh umat Islam mengikut syarak yang ditetapkan.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) melainkan kamu akan tewas.” (HR Bukhari)

Konsep kesederhanaan atau lebih tepat dikatakan konsep ‘wasatiyyah’ perlu dipraktikkan oleh setiap umat Islam di negara ini agar fenomena pelampau atau ‘ghuluw’ dapat dibendung dan tidak menular ke setiap pelosok masyarakat. Penyakit ‘ghuluw’ ini amat merbahaya jika dibiarkan kerana ia boleh menyebabkan perpecahan di kalangan umat manusia. Lebih buruk lagi, bagi pengamal agama, mereka suka mengamalkan sikap ‘ghuluw’ ini kerana sudah merasakan diri itu mulia walhal diri baru sekadar “tujuh kali pergi usrah sudah pandai tepis fatwa”.

Firman Allah SWT:

“Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.” (QS al-Maidah: 77)

Terdapat orang yang melakukan ibadah secara berlebihan sehingga menyimpang ke kanan dengan melakukan perbuatan bidaah, manakala satu pihak lagi menyimpang ke kiri dengan mengabaikan segala larangan Allah dan mengingkari-Nya. Sesungguhnya Islam menjadikan pertengahan ini sebagai keutamaan dalam segala perkara yang berkaitan dengan agama dan dunia. Dalam urusan ibadah, Islam melarang beribadah secara berlebihan sehingga sampai ke peringkat memudaratkan diri, manakala dalam urusan pengurusan kehidupan, dilarang melakukan pembaziran dan penjimatan yang melampau.

Sumber: Berita Harian “Hikmah al-Quran: Utamakan hidup sederhana, adil” (2 Oktober 2015) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan