Home Ektremisme/radikalisme AWAS!!JANGAN TERPENGARUH DENGAN SERUAN UNTUK MEMBELA PATANI KERANA DIBIMBANGI IA ADALAH PROVOKASI...

AWAS!!JANGAN TERPENGARUH DENGAN SERUAN UNTUK MEMBELA PATANI KERANA DIBIMBANGI IA ADALAH PROVOKASI KUMPULAN MILITAN

1009
0

Konflik di Selatan Thailand antara Orang Melayu Patani dengan kerajaan Siam telah berlaku sejak zaman pemerintahan Raja Melayu Patani dahulu lagi (1500-1686). Kegagalan Kerajaan Siam melaksanakan keadilan kepada penduduk Muslim di Selatan Thailand mencetuskan pemberontakan di wilayah tersebut.

Sebagai contoh dalam satu kejadian demonstrasi yang tercetus di Tak Bai pada 24 Oktober 2004. Peristiwa berdarah itu tercetus selepas lebih 1000 penduduk mengadakan demonstrasi di luar Balai Polis Tak Bai bagi membantah penahanan enam lelaki Muslim yang dituduh membekalkan senjata kepada pihak pemberontak.

Demontrasi bertukar ganas selepas tentera melepaskan gas pemedih mata dan meriam air yang berlaku pada bulan Ramadan dan mengorbankan nyawa 85 penduduk Islam itu juga didorong oleh faktor-faktor ketidakadilan terhadap identiti, politik, pendidikan dan keselamatan orang Melayu Patani. Imej penduduk yang disusun bertindih antara satu sama lain dalam trak tentera dengan tangan diikat di belakang mencetuskan kemarahan global dan kumpulan hak asasi manusia.

Keputusan Kerajaan Siam memutuskan untuk tidak menyalahkan mana-mana pihak telah mencetuskan kebangkitan semangat dan pejuang Patani sehingga hari ini dengan satu matlamat iaitu membebaskan bumi Patani sepenuhnya daripada terus ditindas. Pejuang Patani juga menganggap bahawa perjuangan pembebasan Patani adalah perjuangan umat Islam dan menjadi wajib diperjuangkan.

Terkini memperlihatkan trend-trend semangat perjuangan Patani mula kembali semarak di laman-laman sosial oleh rakyat Patani khususnya yang berada di Malaysia bagi mewakili perjuangan kumpulan militan di negara tersebut. Apa yang dibimbangi adalah mereka yang membuat provokasi dan propaganda tentang perjuangan masyarakat Islam di Selatan Thailand tersebut mewakili suara kumpulan militan di Selatan Thailand atau yang berada di negara ini yang cuba menggunakan isu di Selatan Thailand tersebut untuk menyokong agenda militan mereka.

Berdasarkan doktrin yang tersebar itu dikhuatiri rakyat Patani di Malaysia, bahkan orang-orang Islam di negara ini turut bersemangat dan terpanggil untuk berjihad membela masyarakat Melayu Patani dan agama Islam yang dizalimi oleh kerajaan Siam. Bukan itu sahaja, malah dikhuatiri juga mereka menjadikan Malaysia sebagai platform untuk pergerakan jihad di Selatan Thai dengan melakukan tindakan ganas seperti yang dilakukan oleh kumpulan militan di negara itu sebelum ini. Hal ini bukan sahaja akan membahayakan hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Thailand, malah ia akan mempengaruhi semangat jihad masyarakat Islam di sini untuk turut serta berjihad di Selatan Thailand atau menyokong kumpulan militan yang berjuang untuk melakukan tindakan keganasan di negara tersebut.

Walaupun gerakan ini masih tidak terlihat secara terang di Malaysia, namun percayalah ideologi-ideologi yang disampaikan melalui sosial media adalah ideologi militan yang bahaya dan perlu dipantau dengan sebaiknya bagi mengelakkan kejadian pertumpahan darah di negara jiran yang terdekat itu berulang kembali dan sekaligus ia juga akan memberi ancaman kepada keselamatan negara ini.

Sumber: ‘Konflik di Selatan Thailand: Satu kajian dan analisis demonstrasi Takbai’, Kertas Projek Sarjana Sains Politik (2013), Universiti Sains Malaysia.