Masyarakat yang baik adalah masyarakat yang saling hidup dengan aman dan harmoni meskipun berkongsi kehidupan dengan orang bukan Islam. Oleh itu, perpaduan adalah syarat utama untuk menjamin keharmonian sesebuah masyarakat.
Allah SWT berfirman:
“Dan berpegang teguhlah dengan tali Allah (ajaran dan panduan daripada Allah) dan janganlah kamu berpecah-belah.” (QS Ali Imran: 103)
Sementara itu, salah satu faktor terbesar yang boleh menyebabkan rosaknya peradaban bangsa dan negara adalah perpecahan yang berpanjangan. Bahkan kebinasaan umat Islam terdahulu juga adalah disebabkan mereka berpecah belah.
Rasulullah SAW bersabda:
“Janganlah kamu berselisih faham kerana umat terdahulu telah binasa disebabkan berselisih faham” (HR Ahmad).
Umat Islam di negara ini harus bersedia dari semua aspek dalam mengukuhkan sebuah perpaduan kerana di zaman teknologi serba canggih ini, terdapat banyak anasir-anasir yang cuba memecahbelahkan perpaduan di antara kita sesama sendiri mahupun dengan bangsa-bangsa yang lain. Kita adalah suara majoriti dan sepatutnya kita mempunyai usaha yang kuat untuk meneguhkan ikatan perpaduan ini demi sebuah negara aman dan harmoni.
Dalam perkara ini, mengambil kira ayat dan hadis di atas, umat Islam wajib meyakini Allah SWT tidak memerintahkan manusia untuk melakukan sesuatu perkara yang jelek melainkan saling berkasih-sayang, tolong-menolong dan hormat-menghormati bagi menyelamatkan manusia daripada sebarang kebinasaan dan kehancuran. Antara dua perkara yang wajib dilakukan oleh umat Islam demi kebaikan bersama adalah:
- Mengadakan usaha untuk mengukuhkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.
- Mengelakkan perkara atau perbuatan yang boleh menjejaskan keharmonian dan keselamatan negara.
Perpaduan adalah pokok bagi semua perkara yang berkaitan dengan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat serta negara agar benar-benar terjamin. Jika perpecahan masih menjadi pilihan, ia akan mencetuskan lagi suasana tidak aman dan huru-hara hingga membantutkan pembangunan bangsa dan negara. Lihat sahaja negara-negara Timur Tengah yang semakin bergolak hari demi hari, ia berikutan tiada persefahaman di kalangan rakyatnya dan mereka lebih rela untuk mengendalikan negara mereka dengan cara berpecah-belah atau berpuak-puak (asabiyyah).
Ingatlah, tiada guna kita berpecah-belah, sebaliknya kita harus teguhkan perpaduan dan bersatu padu demi kesejahteraan semua. Negara kita mempunyai kepelbagaian diversiti yang harus kita pelihara. Jadi, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga dan memeliharanya agar tidak diracuni oleh dakyah-dakyah subversif yang keterlaluan hingga menggugat keamananan sebuah negara yang penuh harmoni.
Sumber: Harian Metro “tiada manfaat kita berpecah-belah” (10 Mei 2018).