Home Hizbut Tahrir BAHAYA HIZBUT TAHRIR!!! STRATEGI PERJUANGANNYA BOLEH MEMPENGARUHI SESEORANG UNTUK TERLIBAT DENGAN TERORISME

BAHAYA HIZBUT TAHRIR!!! STRATEGI PERJUANGANNYA BOLEH MEMPENGARUHI SESEORANG UNTUK TERLIBAT DENGAN TERORISME

458
0

Kerajaan Malaysia telah mewartakan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Keselamatan Langkah-langkah Khas 2012 (SOSMA) bagi menangani isu-isu keganasan di negara ini. Sementara itu, Majlis fatwa di beberapa negeri telah mengeluarkan fatwa tentang pengharaman Hizbut Tahrir di negara ini dan menjelaskan bahawa pertubuhan Hizbut Tahrir adalah pertubuhan yang haram dan sesiapa yang terlibat dengan pertubuhan ini sama ada secara langsung atau tidak langsung adalah salah disisi undang-undang negara dan juga di sisi agama Islam.

Hal ini telah menunjukkan bahawa pihak keselamatan negara telah mengambil langkah awal dalam menyekat aktiviti dan pergerakan keganasan di negara ini termasuklah pertubuhan Hizbut Tahrir ini. Hizbut Tahrir meskipun mendakwa pertubuhan mereka bukanlah pertubuhan pengganas, namun dari segi strategi dan ideologinya adalah sangat bahaya kepada keselamatan negara ini. Manakan tidak, jika kita melihat kepada tiga fasa perjuangan yang dirangka oleh Hizbut Tahrir bagi mencapai hasrat dan objektif mereka iaitu mendirikan Khilafah Islamiyah, ternyata kecenderungan memberi ancaman keselamatan kepada negara itu adalah tinggi.

Fasa I adalah proses penyebaran ideologi Hizbut Tahrir untuk membenci kerajaan dan sistem yang ada yang dianggap tidak Islam. Mereka akan cuba mempengaruhi orang ramai yang melibatkan proses mengenal pasti individu dan golongan terutamanya yang berpengaruh dan mempunyai kuasa untuk diindoktrinasikan,

Fasa II pula mendekatkan diri dan bermesra dengan orang ramai melalui aktiviti serta program yang dirancang dengan bertujuan untuk mendapatkan keyakinan dan tahap sokongan daripada individu dan golongan yang telah dikenalpasti.

Sementara dalam Fasa III dengan jelas menunjukkan bahawa Hizbut Tahrir bergerak untuk mengambil alih kuasa atau pemerintahan dengan mendirikan sebuah sistem Khilafah.

Walaupun sudah jelas strategi yang dirancang untuk menegakkan Khilafah Islamiyah melalui fasa-fasa tersebut, namun Hizbut Tahrir sebenarnya tidak menunjukkan dengan jelas bagaimanakah kaedah atau manhaj mereka untuk mendapatkan kuasa. Sebenarnya, tujuan perjuangan Hizbut Tahrir adalah untuk merampas kuasa pemerintahan negara ini yang didakwa tidak menjalankan pemerintahan Islam mengikut fahaman mereka

Namun, perjuangan Hizbut Tahrir adalah satu perjuangan yang utopia (bayang-bayang) kerana mereka tidak mempunyai gagasan politik yang jelas bagaimana sebuah Khilafah Islamiyah itu akan tertegak. Kaedah dakwah yang mereka sarankan juga adalah kabur malah dalam banyak hal, bercanggah dengan akidah Islam. Apa yang lebih menakutkan adalah jika ada segelintir pengikut mereka yang tidak sabar dengan manhaj Hizbut Tahrir sekarang, dikhuatiri akan begitu mudah dipengaruhi oleh unsur militan. Akhirnya mereka akan melibatkan diri dengan aktiviti radikalisme demi untuk mendapatkan kuasa ataupun menyertai kumpulan Daesh yang dilihat sedang memperjuangkan sebuah Khilafah Islamiyah melalui kaedah jihad.

Oleh itu, pertubuhan Hizbut Tahrir ini wajib disekat daripada merebak di negara Malaysia ini khususnya kerana pemikiran ekstrem yang dipegang Hizbut Tahrir tentang konsep Khalifah boleh membawa implikasi buruk kepada keharmonian akidah dan keselamatan negara.

Sumber: Terrorism Observer, 12 November 2020.