Home Kemanusiaan/Motivasi SENTIASALAH BERSANGKA BAIK DAN ELAKKAN FITNAH

SENTIASALAH BERSANGKA BAIK DAN ELAKKAN FITNAH

1213
0

Perasan atau tidak, semakin maju dan canggih teknologi pada hari ini semakin galak umat manusia menabur dan menjaja fitnah. Lebih malang lagi apabila fitnah itu dijaja secara berantai di media sosial dan keseluruhan cerita sebenar tidak dapat disahihkan. Banyak contoh seperti ini yang terjadi di negara kita, antaranya kisah anggota polis Unit Ronda Bermotosikal (URB) yang dikatakan dengan sengaja menendang remaja bermotosikal di Pulau Pinang sekitar bulan lepas hingga mengakibatkan mereka jatuh dan cedera parah walhal ada cerita disebaliknya berlaku.

Akibat daripada tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab merekodkan video kejadian itu tanpa mengetahui punca sebenar lalu disebarkan, maka ramailah pelayar internet menjajanya secara berantai hingga menimbulkan kecaman dan cacian terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh warga netizen tanpa mengetahui kisah sebenar.

Allah SWT berfirman:

“Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati?” (QS al-Hujurat: 12)

Jadi di sini, kita sebagai umat Islam yang berpegang teguh terhadap ajaran al-Quran dan As-Sunnah wajib untuk menjauhi segala fitnah dan buruk sangka terhadap sesuatu perkara yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Sehingga tidak dibuktikan kesahihannya, maka haruslah untuk kita sentiasa bersangka baik terhadapnya. Kita jangan sesekali melihat luaran sahaja dan menghukum orang lain tanpa memahami mereka dahulu. Jangan sesekali menuduh perbuatan mereka salah atau silap tanpa mengetahui perkara dan situasi sebenar ketika itu.

Oleh itu, sentiasalah bersangka baik dan jangan sesekali terlibat dalam gejala fitnah-memfitnah. Bersangka baik sangat dituntut dalam Islam untuk mengelak daripada menuduh orang lain berbuat jahat atau melakukan keburukan. Islam sangat menganjurkan umatnya supaya bersangka baik atau husnudzon. Kelebihan sifat terpuji itu antara lain mampu melapangkan dada dan menjernihkan minda dengan terhindarnya daripada perasaan sakit hati, dengki atau memikirkan perkara yang bukan-bukan.

Sumber: Laman Salam Web Today