Home Liberalisme AWAS!!! BERHATI-HATI DENGAN SERANGAN PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL MELALUI TIGA (3) GAGASAN PERJUANGAN...

AWAS!!! BERHATI-HATI DENGAN SERANGAN PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL MELALUI TIGA (3) GAGASAN PERJUANGAN YANG MENYESATKAN

869
0

Fahaman Islam Liberal merupakan salah satu bentuk serangan pemikiran yang disasarkan kepada umat Islam pada hari ini termasuk Malaysia. Terdapat tiga (3) gagasan perjuangan yang menjadi kayu ukur kepada pemikiran Islam Liberal iaitu pertama, kebebasan beragama. Kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan digunakan oleh golongan ini untuk mengemukakan pelbagai pandangan dan tafsiran peribadi terhadap sesuatu isu agama. Bahkan kebebasan beragama ini juga telah diambil kesempatan sepenuhnya oleh 54 NGO liberal untuk menimbulkan salah faham terhadap ajaran agama sehingga menggugat agama Islam sebagai agama rasmi negara. Pemikiran Islam Liberal berpendapat Islam adalah agama yang benar, namun pada masa yang sama aliran ini berpendapat semua agama adalah benar belaka (pluralisme).

Kedua, penentangan terhadap syariah. Pemikiran Islam Liberal mendakwa bahawa umat Islam hari ini terbelenggu dengan Islam yang didominasi oleh bangsa Arab. Mereka mempertikaikan syariat Islam yang dikatakan tidak sesuai untuk dilaksanakan di zaman moden ini dan menganjurkan supaya teks al-Quran dan hadis ditafsir semula. Sebagai contoh tindakan Sister In Islam (SIS) yang mempertikaikan hukuman sebat bagi kesalahan minum arak dan menganggap hukuman tersebut adalah kejam dan tidak sesuai di zaman moden ini.

Ketiga, persamaan hak lelaki, wanita dan kaum sejenis. Persamaan gender adalah menjadi isu utama bagi gerakan NGO yang berlandaskan pemikiran Islam Liberal ini. Ia menjadi agenda perjuangan mereka. Umpamanya SIS menuntut supaya perubahan hukum syariah khususnya yang berkaitan dengan persamaan hak antara lelaki dan wanita. Pemikiran Islam Liberal ini juga mengiktiraf hak-hak bagi golongan LGBT. Malah mereka menganjurkan usaha-usaha untuk membela dan mempertahankan hak-hak sivil golongan LGBT yang mengamalkan hubungan interseksual.

Sekiranya mana-mana individu atau kumpulan yang memperjuangkan salah satu daripada tiga (3) gagasan tersebut, maka ia dianggap sebagai menyokong fahaman Islam Liberal. Jika fahaman ini dibiarkan bergerak bebas tanpa sebarang tindakan, ianya boleh menggugat perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan “Islam sebagai agama persekutuan”. Secara jelas perlembagaan ini telah meletakkan Islam sebagai agama bagi negara Malaysia, sekaligus ia menjadi asas terpenting agar Islam didaulatkan secara menyeluruh di Malaysia.

Namun, bagaimana cara terbaik untuk menyekat fahaman ini kerana usaha penguatkuasaan undang-undang juga sukar dilakukan kerana melibatkan hak kebebasan agama dan hak asasi manusia. Sebagai contoh pada 21 Disember 2015, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan penahanan Kassim Ahmad pada 26 Mac 2014 atas dakwaan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama Islam adalah tidak sah di sisi undang-undang. Manakala pada Mac 2017, Mahkamah persekutuan sebulat suara menolak permohonan kebenaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan tiga yang lain untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2015 yang menyatakan penangkapan Kassim Ahmad oleh JAWI pada 2014 adalah tidak sah.

Berdasarkan kepada kes tersebut, kelompongan dan pencegahan melalui proses undang-undang adalah sukar dan membuka ruang seluas-luasnya penyebaran secara total fahaman berasaskan liberal terutamanya dalam elemen-elemen yang boleh memesongkan akidah umat Islam. Lebih menyukarkan keadaan apabila gerakan liberal negara ini tidak mempunyai kumpulan khas yang menggunakan nama Islam Liberal, tetapi melalui para sarjana, ahli-ahli politik dan badan-badan NGO.

Jika keliru, rujuklah pada individu yang pakar dalam bidangnya. Janganlah hanya menerima bulat-bulat sesuatu perkara terutamanya yang berkaitan dengan agama. Kelak jiwa semakin memandang ringan terhadap hal-hal agama.

Sumber: Kertas Kerja ‘Pengaruh Islam Liberal Terhadap Masyarakat Islam di Malaysia’, (UKM, 2016).