Pada mulanya, Syiah terpecah daripada Islam menjadi satu firqah berpunca daripada persoalan siasah (politik), namun ketika peristiwa kematian Saidina Hussin bin Ali di Karbala, pengaruh Syiah makin meluas sehingga menyentuh persoalan akidah dan ibadah. Disebabkan perbezaan dalam hal akidah dan syariat inilah, maka seluruh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah menfatwakan ajaran Syiah sebagai sesat.
Ketaksuban Syiah terhadap Saidina Ali sangat melampau sehingga sanggup mengkafirkan para sahabat dan tidak mengiktiraf kerajaan ketiga-tiga Khalifah Islam yang merupakan para sahabat nabi dan bukan dari susur galur ahlul bait. Syiah juga menganggap Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman telah merampas hak Saidina Ali iaitu jawatan khalifah yang kononnya terdapat wasiat daripada Rasulullah s.a.w.
Golongan Syiah mendakwa pemerintahan Saidina Ali tidak merampas atau mengambil tapuk pimpinan daripada Saidina Othman, setelah pembunuhan Saidina Othman satu-satunya sebab kukuh Saidina Ali untuk mengambil kuasa kerana ada keperluan untuk melakukan reformasi, adanya kewajaran untuk membantu mereka yang tertindas dan melaksanakan apa yang selama ini lalai.
Oleh sebab itu, puak Syiah di Malaysia mengutuk dan ‘mencucuk jarum halus’ kepada masyarakat untuk turut membenci kerajaan Malaysia (kerajaan PN) sekarang yang dikatakan terbentuk secara rampasan mandat, kerajaan ‘tebuk atap’, kerajaan pintu belakang dan kepimpinan yang teruk, tidak adil dan sebagainya. Melalui wasiat kepimpinan Saidina Ali, puak Syiah cuba untuk mengetengahkan atau menonjolkan kepimpinan Saidina Ali sebagai pemerintahan terbaik dan perlu dijadikan rujukan oleh pemerintah di Malaysia. Faisal Tehrani, seorang aktivis Syiah menulis di media sosial dengan memberikan wasiat Saidina Ali semasa menjadi pemimpin.
Beliau cuba mengaitkan apa yang diwasiatkan oleh Saidina Ali tersebut amat bertentangan sekali dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang (kerajaan PN) yang dikatakan tidak telus, tidak adil, tidak mengikut Islam sepertimana yang diwasiatkan oleh Saidina Ali tersebut. Ini merupakan provokasi Syiah yang bahaya kerana cuba memburuk-burukkan dan memfitnah kerajaan seolah-olah kerajaan yang sah sekarang ini adalah kerajaan yang merampas kuasa, zalim dan lemah. Pada masa yang sama, Syiah (melalui tulisan Faisal Tehrani) cuba menonjolkan kepimpinan Saidina Ali dan cuba menidakkan kepimpinan sahabat atau tiga Khalifah Islam yang lain. Inilah bahayanya jarum-jarum Syiah, yang mengambil kesempatan menggunakan isu politik tetapi penuh dengan fitnah dan pada masa yang sama cuba ‘mendewa-dewakan’ Saidina Ali secara halus.
Namun, Syiah membela individu yang menawarkan diri untuk menjadi pemimpin (yang dimaksudkan pemimpin PH) bersandarkan pada surah Yusuf ayat 55 kononnya ingin menyelamatkan kerajaan atas kapasiti seorang perwakilan rakyat atau berstatus ‘kayangan’. Walhal ayat tersebut tidak boleh digunakan untuk dijadikan hujah seseorang itu boleh menawarkan diri untuk menjadi pemimpin sewenang-wenangnya kerana ayat tersebut perlu dilihat bersama dengan hadis-hadis lain yang melarang orang meminta kepimpinan jika terbukti seorang yang lemah apabila dinilai oleh pemimpin utama, selain melarang juga melantik pemimpin yang rasuah, khianat, jahat, tidak menyokong Islam, berbuat maksiat apalagi yang melakukan perbuatan yang keji dan zina.
Taktik halus Syiah tersebut diharapkan dapat menarik sokongan masyarakat secara halus untuk menonjolkan kepimpinan Saidina Ali seolah dipilih oleh Allah dan pada masa yang sama mencela kepimpinan sahabat nabi. Hal ini memperlihatkan mereka cuba memprovokasikan isu politik di Malaysia serta memfitnah dan memburukkan kerajaan dengan mengaitkan dengan kepimpinan Saidina Ali.
Sumber: Buku Syiah Komplot Tawan Dunia, Free Malaysia Today- 25 Feb 2021(Faisal Tehrani)