Home Ajaran Sesat AWAS!!!PENYELEWENGAN AJARAN SESAT BOLEH BERTUKAR MENJADI ANCAMAN MILITAN

AWAS!!!PENYELEWENGAN AJARAN SESAT BOLEH BERTUKAR MENJADI ANCAMAN MILITAN

1233
0

Kemunculan dan penularan perkembangan ajaran sesat adalah kerana kejahilan terhadap agama Islam itu sendiri. Kejahilan tersebut bukan sahaja daripada pengikut tetapi juga kepada ketua atau guru ajaran sesat itu sendiri.

Merujuk kepada al-Quran, antara sebab-sebab kewujudan ajaran sesat ini adalah kerana terbabasnya manusia daripada landasan agama sebenar berdasarkan kepada tiga perkara iaitu kelemahan diri sendiri atau tidak mempunyai akidah sebenar, godaan syaitan dan tipu daya manusia dan dunia.

Bukan itu sahaja, kewujudan kumpulan ajaran sesat juga mampu memberi ancaman keselamatan kepada negara terutamanya pengikut kumpulan ajaran sesat menjadi taksub dan memuja pemimpinnya yang bertopeng Islam. Pengikut ajaran sesat akan mengikut apa saja yang diarahkan oleh pemimpin mereka meskipun untuk melakukan keganasan dan pembunuhan kerana mereka yakin arahan pemimpin mereka itu sebagai arahan yang suci yang perlu ditaati dan akan mendapat ganjaran yang dijanjikan. Sebagai contoh dalam kes ‘Tuhan Harun’ dimana dia bersama pengikutnya didakwa melakukan konspirasi jenayah dengan niat membunuh Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang pada 10 November 2013. Kematian tersebut menunjukkan bahawa pengikut ajaran sesat mampu bertindak ganas sehingga membunuh.

Banyak lagi contoh-contoh kumpulan ajaran sesat di mana pengikutnya yang taksub kepada pemimpinnya dan akhirnya bertindak ganas. Biasanya kumpulan sesat ini dikaitkan dengan pengakuan ketuanya sebagai Imam Mahdi atau Nabi atau Tuhan. Contohnya pengikut ajaran Tajul Ariffin yang mengaku sebagai Imam Mahdi telah bertindak menyerang kuil Hindu di Kerling, Selangor tahun 1979. Begitu juga dengan kumpulan ajaran sesat Ahmad Nasir Kemboja yang bertindak menyerang balai polis Batu Pahat tahun 1980. Kemudian, wujud juga kumpulan ajaran sesat yang mempersiapkan kekuatan dan persenjataan untuk menyerang kerajaan yang dianggap kufur dan ‘toghut’ seperti kumpulan al-Maunah, al-Arqam, Kumpulan NII, Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), Jemaah Islamiah, Islamic State (IS), Hizbut Tahrir dan lain-lain lagi. Sekiranya penyelewengan agama ini boleh bertukar menjadi militan dan ganas, ia tidak baik untuk negara dan boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara.

Justeru itu, kekuatan iman adalah benteng terakhir yang mesti ditembusi oleh pengikut dan pengasas ajaran sesat ini. Hanya dengan iman yang teguh dan benar sahaja akan terselamat daripada pengaruh ancaman-ancaman tersebut. Oleh yang demikian, beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya akan memberi kepuasan dan kebersihan hati dan fikiran seterusnya akan melahirkan sifat taqwa serta membantu seseorang itu menjalani kehidupan ini dengan mengikut jalan yang benar (agama Islam).

Sumber: Seminar Penerangan Ajaran Salah dan Isu Semasa, DUN Selangor.