Home MURTAD PERKARA 11(HAK KEBEBASAN) DIPUTAR BELITKAN UNTUK MEMURTADKAN UMAT ISLAM

PERKARA 11(HAK KEBEBASAN) DIPUTAR BELITKAN UNTUK MEMURTADKAN UMAT ISLAM

120
0

Kandungan Perlembagaan Persekutuan tidak menafikan hak kebebasan beragama. Namun, kebebasan ini bukanlah satu prinsip yang bersifat mutlak. Islam menitikberatkan kerelaan dalam menganuti agama ini, sebarang paksaan dan kekerasan merupakan bentuk kezaliman. Walau bagaimanapun, setelah seseorang individu melafazkan syahadah, pada saat itulah dirinya tidak dibenarkan sewenang dan sebebasnya untuk keluar agama atau murtad.

Isu timbul apabila wujud kekeliruan dalam kalangan masyarakat bahawa tindakan keluar Islam tidak sepatutnya diletakkan di bawah satu kesalahan jenayah syariah, sebaliknya tindakan itu merupakan suatu hak kebebasan dalam beragama yang wajar dinikmati setiap individu. Selain itu, kelompongan dalam perundangan turut menjadi punca segelintir masyarakat mengambil kesempatan untuk keluar dari Islam sehingga menjadikan alasan hak kebebasan asasi sebagai alasan bagi setiap permohonan yang dilakukan.

Menjadi lebih parah apabila wujud badan-badan yang menerajui dan meletakkan kebebasan semua agama dalam lingkungan yang sama sehingga tidak membezakan antara Islam atau tidak. Antaranya ialah satu pertubuhan NGO di Malaysia iaitu Majlis Suruhanjaya Antara Agama-Agama. Agenda utama penubuhannya adalah meletakkan semua agama dalam kedudukan yang sama sehingga setiap orang bebas untuk menentukan status agama masing-masing serta memastikan tidak ada halangan bagi seorang Muslim untuk murtad.

Pihak-pihak yang berhujah bahawa murtad dibenarkan oleh perlembagaan sebenarnya telah terkeliru atau terdapat cubaan untuk memutar belitkan Perkara 11 dalam konteks kebebasan beragama. Oleh itu, membendung masalah murtad dalam kalangan orang Islam adalah diharuskan dan ia tidak menunjukkan pertentangan dengan peruntukan kebebasan beragama yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sumber: Jurnal Pengajian Islam, Bil. 16(2) – Universiti Malaya