Home Ektremisme/radikalisme JANGAN TERPENGARUH DENGAN IDEOLOGI PENGGANAS KERANA MEREKA TIDAK MENGIKUT AJARAN ISLAM...

JANGAN TERPENGARUH DENGAN IDEOLOGI PENGGANAS KERANA MEREKA TIDAK MENGIKUT AJARAN ISLAM YANG BENAR

585
0

Dari sudut falsafah akhlak, pelampau ataupun teroris dianggap sebagai golongan yang tidak berhikmah iaitu tiada sifat kebijaksanaan. Mereka ini sebaliknya berfikiran sempit, terburu-buru dan mengikut hawa nafsu dalam menghukum orang lain termasuklah sesama umat Islam sendiri, seterusnya melaksanakannya secara kekerasan dan keganasan demi memastikan matlamat mereka tercapai.

Umat Islam sepatutnya meneladani Rasulullah s.a.w. yang ternyata jihad Baginda sepanjang perutusannya adalah menentang kejahilan, kemiskinan, hawa nafsu, sifat bongkak, munafik dan sebagainya. Dalam usaha Baginda s.a.w. memenuhi amalan hidupnya, begitu banyak perkara yang ditekankan sebagai jihad. Namun kebanyakannya berkisar pada aspek akidah dan akhlak, bukannya peperangan, apatah lagi keganasan.

Tetapi agenda peperangan jugalah yang sentiasa disentimenkan oleh golongan teroris yang mendakwa mereka adalah ‘mujahid’ ataupun ‘mujahidin’ pada masa kini. Mereka mentafsirkan tindakan tersebut adalah sepertimana yang dituntut oleh Nabi Muhammad s.a.w. agar ‘matlamat menghalalkan cara’ atas nama jihad tersebut dapat dilaksanakan tanpa sebarang persoalan termasuklah dari segi Maqasid al-Syari`ah.

Paling bermasalah, apabila golongan tersebut turut mensasarkan kelompok Muslim lain dengan cara kekerasan, pembunuhan dan pengeboman. Mereka merasakan cara keganasan tersebut adalah satu jihad. Situasi tersebut turut menarik pelbagai kelompok Muslim lain termasuklah di Malaysia untuk menubuhkan kumpulan jihad masing-masing seperti Jemaah Islamiyah, Kumpulan Militan Malaysia, Al-Maunah dan sebagainya. Mereka turut dikatakan terlibat dengan peperangan dan pengeboman di Selatan Filipina dan Bali, Indonesia yang ternyata terpesong daripada ajaran Islam dan makna jihad Islam yang sebenar.

Islam menekankan bahawa pembersihan jiwa manusia perlulah diberikan keutamaan dalam melahirkan akhlak yang berkualiti, seterusnya melaksanakan jihad secara adil, cermat dan ikhlas. Namun, jihad sebenar itu bukanlah jihad yang memfokuskan kepada peperangan mengangkat senjata, sebaliknya adalah peperangan melawan hawa nafsu.

Sumber: International Journal of Islamic Thought, Vol. 7:2015