Home Kemanusiaan/Motivasi JADILAH MANUSIA YANG PALING BANYAK MEMBERI MANFAAT KEPADA MANUSIA YANG LAIN...

JADILAH MANUSIA YANG PALING BANYAK MEMBERI MANFAAT KEPADA MANUSIA YANG LAIN AGAR DICINTAI OLEH ALLAH SWT

787
0

Menjadi manusia yang disayangi oleh Allah SWT adalah dambaan semua umat Islam di muka bumi ini. Setiap hari kita beribadah mengharapkan belas ikhsan daripada Allah SWT untuk menyayangi kita dan memberikan ganjaran syurga dan pahala. Namun, apakah amalan yang perlu kita lakukan sehingga kita mendapat redha dan kasih sayang Allah SWT? Dengan sekadar menunaikan ibadah ritual yang rutin untuk mendekatkan diri kepada Allah, ia sebenarnya masih belum mencukupi jika tidak disertakan dengan tugas memberikan manfaat kepada manusia yang lain.

Dalam menjalani kehidupan di dunia ini, kita haruslah menjaga dua hubungan, iaitu hubungan dengan Allah SWT (Hablum Minallah) dan hubungan dengan manusia (Hablum Minannas). Jika kita hanya menjaga hubungan kita dengan Allah SWT sedangkan kita meninggalkan amalan untuk menjaga hubungan kita sesama manusia, maka iman kita masih belum sempurna dan belum layak untuk menjadi hamba Allah yang disayangiNya.

Daripada Ibnu ‘Umar, bahawasannya ada seorang laki-laki yang mendatangi Rasulullah SAW. Ia berkata: “Wahai Rasulullah, manusia apa yang paling dicintai oleh Allah? Dan amal apa yang paling dicintai oleh Allah?

Rasulullah SAW menjawab:
“Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia lain.” (HR Thabrani).

Kita boleh lihat pernyataan di atas ini seakan sama dengan situasi yang dilalui oleh rakyat Malaysia pada hari ini. Lihatlah, bagaimana sebilangan besar daripada mereka berganding bahu bersama-sama dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas di beberapa kawasan. Tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit, mereka saling membantu di antara satu sama lain baik di antara umat Islam dan golongan bukan Islam. Bagi umat Islam, inilah kesempatan terbaik untuk berbakti kepada masyarakat dalam menggapai redha Allah SWT dan dicintai olehNya. Muslim yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain.

Kita hidup di dunia ini hanya sementara sahaja dan yang kekal adalah di alam akhirat nanti. Oleh itu, pergunakanlah peluang ini untuk membuat amal pahala sebanyak-banyaknya kepada manusia atau makhluk Allah yang lainnya. Ingatlah, sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, dialah sebaik-baik manusia yang akan disayangi dan dicintai Allah SWT. Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah apabila seseorang itu membuat orang lain bahagia. Antara cara yang boleh dilakukan untuk membahagiakan orang lain adalah dengan cara meringankan kesusahan seseorang seseorang, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya.

Seorang Muslim yang pergi untuk membantu bagi memenuhi keperluan seseorang, lebih dicintai Allah daripada dia beriktikaf sebulan di masjid Nabawi. Rasulullah SAW bersabda:

“Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah selama sebulan penuh.” (HR. Tabrani).

Dalam situasi kebanyakan negeri kita di Malaysia terlibat dengan banjir sehari dua ini, bagi yang tidak terkesan, marilah kita membantu orang yang sedang ditimpa kesusahan dan musibah. Semoga dengan bantuan yang dihulurkan walaupun kecil, sama ada wang ringgit juga tenaga untuk membantu pembersihan pasca banjir dan sebagainya boleh meringankan kesusahan orang lain. Seperti sabda Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik manusia di antaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain.” (HR Bukhari dan Muslim).

Sumber: Sinar Harian (10 Mei 2019)