Home Ajaran Sesat BERWASPADALAH!!! JANGAN MUDAH TERPEDAYA DENGAN AJARAN SESAT YANG MENGAJARKAN AMALAN YANG BERCANGGAH...

BERWASPADALAH!!! JANGAN MUDAH TERPEDAYA DENGAN AJARAN SESAT YANG MENGAJARKAN AMALAN YANG BERCANGGAH DENGAN AL-QURAN DAN SUNNAH NABI SAW

816
0

Kemunculan ajaran sesat di negara ini semakin menjadi-jadi. Di Selangor sahaja terdapat lebih daripada 40 kumpulan ajaran sesat yang dikesan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan sebahagiannya masih aktif meskipun tindakan telah diambil oleh JAIS. Sebenarnya ciri-ciri ajaran sesat memang mudah untuk dikenali kerana sesuatu kumpulan atau individu yang mengamalkan ajaran sesat akan mengerjakan amalan yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam meskipun mereka mendakwa mereka mengamalkan ajaran Islam yang benar. Kumpulan ajaran sesat ini mengamalkan keyakinan yang mensyirikkan Allah SWT dan mengamalkan amalan atau ritual ibadah yang tidak pernah wujud dalam Islam malah bercanggah dengan syariat Islam. Contohnya mendakwa diri mereka atau ketua mereka sebagai Rasul atau Wakil Allah, mengatakan semua agama adalah sama, solat memadai dengan niat, solat jemaah bukan sebahagian daripada syariat Islam, arah kiblat tidak hanya kaabah, fardhu haji boleh ditunaikan selain di Mekah, mengamalkan amalan yang pelik-pelik yang penuh dengan tahayul dan kurafat yang mensyirikkan dan sebagainya lagi.

Bahaya ajaran sesat ini adalah kerana perbuatan kumpulan ajaran sesat tersebut sebenarnya telah menghina, memperlekeh, menolak, menafikan hukum Allah sama ada melalui perbuatan, perkataan dan iktikad. Perbuatan mereka ini dikira sebagai perbuatan sesat yang boleh membawa kepada terbatalnya Islam seseorang. Selain itu, ajaran sesat tersebut juga boleh mengundang ancaman kepada individu, keluarga, masyarakat, negara dan agama Islam kerana mereka akan mengkucar kacirkan masyarakat dalam beragama.

Sehubungan itu, masyarakat Islam diseru supaya menuntut ilmu fardhu ain daripada guru-guru agama dan kelas-kelas fardhu ain yang diiktiraf agar selamat daripada tipu daya syaitan yang licik. Perbanyakkan usaha menuntut ilmu dari alim ulama kerana mereka adalah pewaris nabi-nabi. Marilah kita sama-sama berpegang, menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran serta Sunnah-sunnah Rasulullah SAW kerana dua jalan ini membawa kita kepada keselamatan di dunia dan di akhirat.

Nabi SAW bersabda:
“Aku tinggalkan dua perkara yang apabila dua perkara ini kalian berpegang kepadanya maka kalian tidak sesat selamanya, yakni al-Quran dan Sunnah” (HR Imam Malik).

Oleh itu, jauhilah dari segala ajaran yang meragukan dan mengelirukan. Jangan mudah terpedaya dengan doktrin-doktrin yang dilemparkan, yang kononnya dikatakan sebagai jalan mudah untuk mendapat pahala sedangkan ianya bertentangan dengan syariat Islam yang sebenar.

Sumber: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan