Ikhlas menurut konteks di dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka membawa erti tidak menipu dan tidak berpura-pura. Ia diambil daripada perkataan Arab iaitu ‘kholaso’ yang bermaksud jernih dan bersih dari pencemaran. Namun dalam konteks Islam, ikhlas bermaksud melakukan sesuatu amalan semata-mata kerana Allah, bukan kerana tujuan yang lain seperti riak, ingin menunjuk-nunjuk atau ada tujuan lain yang tersembunyi. Amalan yang tidak ikhlas tidak akan diterima oleh Allah SWT. Sementara itu, sabar pula membawa maksud tahan menempuh sesuatu yang sukar. Sabar yang terpuji adalah sabar atas mengerjakan taat kepada Allah SWT, menjauhi segala maksiat yang dilarang-Nya dan sabar atas segala takdir-Nya.
Firman Allah SWT:
Sesungguhnya diberi ganjaran orang yang sabar dengan pahala tanpa batas.” (QS al – Zumar: 10).
Di dalam kehidupan yang semakin mencabar ini, banyak dugaan yang terpaksa kita tempuhi dan kadangkala kita hampir berputus asa kerana merasakan hidup ini tidak adil akibat tiadanya kemanisan sebaliknya hanya dugaan yang berpanjangan. Jangan mudah putus asa kerana Allah SWT menurunkan ujian hidup hanya untuk melihat tahap kesabaran kita terhadap dugaan yang diturunkan dan keikhlasan kita dalam menerimanya. Sebagai contoh, cabaran kehidupan kita di fasa pandemik Covid-19 dan ujian hidup dalam mendepani kenaikan harga barangan mentah dan keperluan yang mendadak. Ramai di kalangan kita sudah mula putus asa.
Namun, sebagai umat Islam yang patuh dengan al – Quran dan As – Sunnah kita jangan sesekali putus asa dengan keadaan hidup yang semakin hari semakin meruncing ini. Ibarat kata pepatah, ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’. Apa yang perlu dilakukan adalah kita haruslah sentiasa ikhtiar dan berusaha dalam meneruskan kehidupan kita di hari-hari yang mendatang. Kuncinya adalah ikhlas dan sabar. Sebilangan besar masyarakat alaf baru hari ini tidak sabar dan sentiasa mengharapkan perubahan dengan cepat serta drastik. Ini bukanlah yang diajar oleh agama kita. Agama Islam sentiasa menitikberatkan usaha, tawakkal, ikhlas dan sabar dalam membentuk hidup.
Semakin banyak kita diuji, semakin kuat iman kita dan semakin dekatnya kita kepada Allah SWT. Para hamba Allah SWT yang soleh diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai musibah. Ada yang diuji dengan kehilangan harta benda, keluarga dan anggota tubuhnya, namun ia bukanlah lesen untuk kita berputus asa dalam meneruskan hidup. semakin kita ikhlas dan sabar, semakin tinggi Allah SWT mengangkat darjat kita. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Allah SWT tiada menerima sesuatu amalan melainkan yang dikerjakan dengan penuh ikhlas kepadanya dan ditujukan hanya kepadanya semata-mata.” (HR Abu Daud & Nasa’i).
Sumber: www.addeen.my (http://www.addeen.my/index.php/rohani/ibadah/item/1113-tuhan-sedang-mengajarmu-erti-ikhlas-dan-sabar)