Home Kemanusiaan/Motivasi BERSATU DAN PATUHILAH ARAHAN ‘ULIL AMRI’ (PEMIMPIN KERAJAAN) UNTUK MENANGANI PANDEMIK COVID-19...

BERSATU DAN PATUHILAH ARAHAN ‘ULIL AMRI’ (PEMIMPIN KERAJAAN) UNTUK MENANGANI PANDEMIK COVID-19 DEMI KESEJAHTERAAN UMMAH SEJAGAT

679
0

Semakin hari kes harian jangkitan Covid-19 semakin meningkat. Rakyat semakin dihimpit kesusahan kerana serangan demi serangan jangkitan berlaku saban hari dan kematian semakin meningkat. Ada di kalangan kita yang mula putus asa kerana merasa terhimpit dengan keadaan yang semakin mendesak, apatah lagi dengan pelbagai varian jangkitan Covid-19 yang tidak menunjukkan apa-apa simptom, ia menambahkan lagi kerisauan semua pihak.

Lalu apa yang harus kita lakukan saat ini? Sebagai umat Islam, kita seharusnya bersatu-padu dalam menangani permasalahan ini. Bagaimana? Ikutilah segala saranan dan arahan yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh mereka. Bukankah Rasulullah SAW sudah berpesan, patuh dan taatlah arahan pemerintah negara walaupun ada kerugian di pihak anda? Sabda Baginda:

“Kamu wajib patuh dan setia, samada dalam keadaan susah atau senang,suka atau duka dan walaupun merugikan kepentinganmu.” (HR Muslim).

Mulai saat ini, buanglah ego dan pentingkan diri dalam diri masing-masing dan mulalah membentuk satu perpaduan di kalangan umat Islam untuk menghadapi musibah Covid-19 ini. Bersatu-padu dan dengarlah akan arahan pemimpin, nescaya kita boleh melawan pandemik ini dengan berjaya untuk kedua kalinya. Jangan dihiraukan pada mereka yang sombong, bongkak dan merasakan diri mereka hebat dan betul dalam melakukan pelanggaran dalam undang-undang dan kemudian merasa megah. Hanya Allah SWT sahaja dapat membalas perilaku mereka.

Keluarga kita, tanggungjawab kita, begitu juga dengan komuniti kita. Bersatu-padulah sesama umat Islam di kala pandemik covid-19 demi kesejahteraan ummah sejagat. Siapa lagi yang boleh ubah keadaan jikalau bukan diri kita sendiri. Mementingkan diri dan ego di dalam diri semasa serangan pandemik Covid-19 ini boleh juga disamakan dengan membunuh umat manusia. Sanggupkah kita digelarkan sebagai pembunuh hanya untuk kepentingan diri? Kita pernah hampir berjaya, apa salahnya kita lakukannya sekali lagi sehingga berjaya? Bersatu-padu, bekerjasama dan berganding bahulah kita semua bagi melawan virus ini.

Firman Allah SWT:

“Bahawasanya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damai kanlah diantara dua saudara kamu yang bertelingkah itu dan bertaqwalah kepada Allah Subhanahu Wataala supaya kamu beroleh rahmat.” (QS Al – Hujurat: 10).

#KITABUKANRAKYATGAGAL

#PATUHISOP

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Ugama Brunei Darussalam