Home Ektremisme/radikalisme SENYAP TIDAK BERERTI LENYAP KEMUNCULAN SEMULA ANGGOTA ABU SAYYAF DI PANTAI...

SENYAP TIDAK BERERTI LENYAP KEMUNCULAN SEMULA ANGGOTA ABU SAYYAF DI PANTAI TIMUR SABAH ADALAH SATU AMARAN TENTANG ANCAMAN KUMPULAN TERSEBUT TERHADAP KESELAMATAN NEGARA YANG PERLU DITANGANI SEGERA

803
0

Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan berita tindakan pihak kerajaan menghantar satu pasukan komando Unit Tindakan Khas (UTK) bagi memperketatkan kawalan di Pantai Timur Sabah termasuk di sempadan perairan Sabah-Kalimantan.

Hal ini adalah susulan maklumat risikan menunjukkan kemunculan semula sub ketua kumpulan Abu Sayyaf yang juga pakar dalam pembuatan bom iaitu Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan di sebuah kawasan Sulu ketika membeli makanan. Khabar berita Mundi yang disahkan masih hidup telah mendatangkan kekhuatiran terutamanya kepada rakyat Malaysia di Sabah.

Kumpulan Abu Sayyaf adalah gerakan yang ditubuhkan bertujuan untuk menubuhkan sebuah kerajaan Islam yang berdaulat. Mereka telah mendoktrinkan pasukannya berasaskan ideologi al-Qaeda pimpinan Osama Laden bagi melawan kerajaan Filipina dan mendapatkan semula wilayah mereka dan menjadikan mereka sebuah kumpulan militan yang lebih bahaya.

Mereka telah mengisytiharkan jihad terhadap pemerintah untuk menegakkan Daulah Islamiyyah. Namun begitu, Modus Operandi kumpulan Abu Sayyaf yang melakukan tindakan ganas melibatkan tindakan perompakan, pemerkosaan, penculikan, pengeboman dan pembunuhan demi mendapatkan wang tebusan secara jelasnya adalah menyalahi etika jihad yang ditetapkan oleh agama Islam. Oleh sebab itu, kumpulan Abu Sayyaf dianggap radikal dan ganas. Sekiranya tidak dibendung ia boleh mendatangkan isu keselamatan yang serius bukan sahaja di Filipina malah di Malaysia.

Bagi mereka, satu-satunya pilihan untuk orang Islam atau warisnya berkuasa ialah dengan mewujudkan kembali Kesultanan Sulu termasuk Sabah tanpa mengira betapa ganas atau berpanjangannya usaha ini. Peristiwa pencerobohan di Lahad Datu satu ketika dulu adalah salah satu contoh yang menunjukkan perairan Malaysia terancam disebabkan oleh pergolakan di Filipina yang melibatkan pihak kerajaannya dengan kumpulan pemberontak khususnya kumpulan Abu Sayyaf perlu menjadi iktibar pada Malaysia untuk terus memantau pergerakan kumpulan tersebut demi keselamatan negara.

Oleh sebab itu, setiap kumpulan radikal dan pengganas ini mestilah dipantau secara berterusan walaupun secara zahirnya mereka telah pun ditewaskan sebelum ini. Namun, itu tidak bermakna saki baki anggota yang masih tinggal tidak akan muncul kembali. Senyap tidak bererti lenyap. Berwaspadalah.

Sumber: Berita Harian, 2 FEB 2022 dan Global Strategis, Th. 13, No. 2