Pernah atau tidak kita merasa susah, merasa sempit di dalam hidup kita? Hati tidak tenang, fikiran bercelaru. Mungkin ada sesuatu yang kurang dalam hidup ini. Cuba kita periksa diri kita, adakah kita tertinggal sebarang amalan? Adakah kita sudah bersedekah? Bersedekah ini bukanlah di kala kita senang sahaja, bahkan dalam keadaan susah pun kita digalakkan bersedekah. Rasulullah SAW bersabda:
“(Sedekah yang paling besar ganjarannya ialah) Engkau bersedekah ketika sihat sedangkan hatimu berasa sangat kedekut (untuk bersedekah), jiwamu sedang takutkan kemiskinan dan engkau bercita-cita mengharapkan kekayaan.” (HR Bukhari)
Tahukah kita bahawa dengan bersedekah membuatkan kita menjadi lebih kaya? Ya, kita akan dipandang kaya pada pandangan Allah SWT dan sudah pasti mendapat ganjaran pahala dan syurga di hari akhirat. Rasulullah SAW mendidik kita agar sentiasa menyumbang biarpun saat kita memerlukan wang tersebut. Bahkan kesediaan kita menyumbang saat memerlukan menunjukkan kebergantungan jiwa yang tinggi kepada Allah SWT.
Selain itu, dengan bersedekah ia juga dapat menggugurkan segala dosa-dosa kita yang lampau. Manusia memang tidak luput dengan dosa. Kesempurnaannya dipertanyakan apakah kita layak disebut sebagai makhluk yang sempurna padahal kita selalu enggan untuk meminta ampun dengan kepada Allah SWT atas dosa yang telah kita lakukan. Dengan itu, sedekah adalah cara yang mudah disediakan oleh Allah SWT agar dapat mengikis segala dosa-dosa kita. Cukup sekadar dengan senyuman, kita sudah dianggap bersedekah kerana senyum adalah salah satu sedekah termudah yang dapat kita sebarkan dengan mengukir garis senyum di bibir kita. Sabda Rasulullah SAW:
“Sedekah itu dapat menghapus dosa sebagaimana air yang memadamkan api.” (HR Tirmidzi)
Oleh itu, bersedekahlah kita ketika di dalam keadaan sempit kerana ganjarannya amatlah besar Orang yang bersedekah ketika senang itu dianggap biasa, tetapi orang yang masih mampu bersedekah ketika mereka susah itu dipandang sangat luar biasa. Apatah lagi di saat pandemik Covid-19 melanda negara, ramai di kalangan kita yang kehilangan kerja, begitu juga yang tersekat rezeki mereka disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan. Bantu saudara-mara kita yang kesusahan. Begitu juga orang sekeliling kita sekiranya mereka memerlukan.
Sumber: Portal ISMAWEB