Home Kemanusiaan/Motivasi SALAH GUNA KEDUDUKAN DAN AGAMA DEMI KEPENTINGAN DIRI – PERTEGUHKAN KEIMANAN DEMI...

SALAH GUNA KEDUDUKAN DAN AGAMA DEMI KEPENTINGAN DIRI – PERTEGUHKAN KEIMANAN DEMI MENOLAK SUATU KEBATILAN

54
0

Memang mudah untuk mendapat gelaran agama seperti ‘ustaz’ dan ‘ustazah’. Namun untuk mengekalkan kredibiliti ‘title’ itu memerlukan seribu satu pengorbanan dan kecekalan. Seperti yang terjadi baru – baru ini apabila kita dikejutkan dengan penahanan pegawai sebuah jabatan agama Islam negeri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes menerima suapan lebih RM1 juta bagi memudahkan urusan pendaftaran pernikahan di negeri terbabit.

Dalam siasatan yang dijalankan, mendapati bagi setiap permohonan nikah, terutama untuk pasangan yang bernikah di Thailand dan mahu mendaftarkan pernikahannya itu semula di negara ini, akan berhubung dengan syarikat yang menguruskan pernikahan ini yang dimiliki oleh suspek. Untuk itu, syarikat berkenaan akan meminta pasangan yang mahu mendaftarkan pernikahan itu semula bayaran wang sekitar RM5,000 sebagai wang pendaftaran pernikahan.

Dalam era moden ini, kita sering melihat pelbagai cara individu menggunakan gelaran agama untuk tujuan keuntungan duniawi. Fenomena ini sangat membimbangkan kerana ia bukan sahaja merendahkan martabat agama, tetapi juga memperdayakan umat Islam. Gelaran agama seperti ‘ustaz’, ‘ustazah’ dan seumpamanya seharusnya mencerminkan seseorang yang mempunyai pengetahuan mendalam dalam agama dan memimpin umat ke jalan yang benar. Namun, ada segelintir individu yang mengambil kesempatan dengan menggunakan gelaran ini untuk menarik perhatian dan meraih keuntungan material. Contohnya, ada yang menggunakan gelaran terbabit untuk mempromosikan sesuatu aktiviti yang ganjil yang kadangkala tidak berkaitan langsung dengan agama.

Dalam Islam, menyalahgunakan agama untuk tujuan duniawi adalah dilarang keras. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 41:”Dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit dan hanya kepada-Ku lah kamu harus bertakwa.”Bahkan, Rasulullah SAW juga banyak menekankan mengenai bahaya penyalahgunaan agama.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:”Barangsiapa mempelajari ilmu yang sepatutnya untuk mencari reda Allah, tetapi dia mempelajarinya hanya untuk mendapatkan dunia, maka dia tidak akan mencium wangi syurga pada hari kiamat.” (HR Abu Daud).

Untuk mengatasi masalah ini, kita perlu kembali kepada ajaran Islam sebenar. Kita perlu menekankan kepentingan niat yang ikhlas dalam segala perbuatan kita, terutama dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama. Bukan itu sahaja, pendidikan agama yang betul dan menyeluruh perlu diberikan kepada semua lapisan masyarakat. Dengan pengetahuan yang mendalam, umat Islam dapat membezakan antara individu yang ikhlas dan mereka yang menyalahgunakan agama.

Pihak berkuasa agama juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap individu dalam institusi mereka yang didapati menyalahgunakan gelaran agama untuk tujuan duniawi.Oleh itu, kita perlu memelihara kesucian gelaran agama dan memastikan ia digunakan dengan cara yang benar dan mulia. Perteguhkan keimanan kita untuk menolak suatu kebatilan. Pelihara martabat Islam agar tidak terus dipandang serong oleh agama lain.

Sumber: Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)