Home Kemanusiaan/Motivasi SALING MENGASIHI DAN SALING MEMBANTU SESAMA MUSLIM ADALAH TANDA KESEMPURNAAN IMAN

SALING MENGASIHI DAN SALING MEMBANTU SESAMA MUSLIM ADALAH TANDA KESEMPURNAAN IMAN

1838
0

Daripada Anas RA, Nabi SAW, bersabda:

“Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”. (HR Bukhari)

Sebagai seorang Mukmin, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mengasihi sesama saudara seagama kita. Bukankah orang Islam itu bersaudara, bahu bertemu bahu dan saling bersatu-padu? Mengasihi sesama Muslim itu adalah pra syarat bagi kesempurnaan iman seseorang. Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak beriman (tidak sempurna iman) seseorang dari kalian sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri” (HR Bukhari).

Maka, amat jelas melalui keterangan hadis Rasulullah SAW di atas bahawa cinta kepada saudara kita sesama Islam harus diamal dan dijiwai dalam diri setiap individu yang bergelar Muslim.

Kita tidak boleh menyakiti hati saudara-saudara kita dengan menggunakan jalan kehancuran dan kebinasaan seperti bercakap bohong, fitnah-menfitnah, mengaibkan saudara sendiri dan sebagainya. Tidaklah seseorang itu dianggap seorang Muslim yang sejati andai di dalam hatinya penuh dengan sifat mazmumah dan akhlak yang negatif. Selain itu, cinta sesama Muslim seharusnya didasarkan kepada Allah SWT semata-mata.

Ingatlah bahawa setiap mukmin itu bersaudara. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara…” (QS al-Hujurat: 10).

Oleh itu menjadi tanggung jawab setiap Muslim membantu Muslim lain yang memerlukan, memberi nasihat ketika mereka memerlukan nasihat, meminjamkan telinga kita untuk mendengar masalah dan rintihan mereka, memberi dorongan kepada mereka dan kita juga jangan sekali-kali lupa untuk mendoakan mereka.

Di masa pandemik ini, seharusnya kita bersatu hati dan teguhkan iman kita untuk bersama-sama membantu saudara seagama kita yang didalam kesusahan. Inilah masanya untuk kita saling mencurahkan kasih sayang dan mengasihi saudara kita. Bahkan Ibn Qayyim menyatakan kasih sayang dalam berukhuwah itu adalah memberikan manfaat kepada orang lain dan bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada sahabat atau menjauhkannya daripada bencana.

Dalam suasana PKP ini, ada orang yang dijangkiti virus Covid 19 dan tidak kurang mereka yang walaupun tidak dijangkiti virus namun terkesan dan melalui pelbagai kesusahan dan keperitan. Adakah kita memiliki sifat ukhuwah dan sanggup bersusah payah demi mereka? Begitu juga dengan saudara kita di Palestin yang melalui kesusahan dan keperitan mempertahankan bumi para anbiya dan Masjidil Aqsa dengan darah dan nyawa. Adakah kita juga turut merasainya dengan bersusah payah membela dan membantu mereka?

Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan berkasih sayang sesama kita. Sabda Rasulullah SAW:

“Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, iringilah keburukan dengan kebaikan, pasti ia boleh menghapuskannya dan bergaulah manusia dengan akhlak yang baik.” (HR Tirmidzi)

Sumber: Harian Metro (18 September 2018)