Home Kemanusiaan/Motivasi JADILAH HAMBA ALLAH YANG SENTIASA MEMBANTU DAN MERINGANKAN BEBAN ORANG LAIN...

JADILAH HAMBA ALLAH YANG SENTIASA MEMBANTU DAN MERINGANKAN BEBAN ORANG LAIN SUPAYA ALLAH SWT PERMUDAHKAN URUSAN KITA DI DUNIA DAN DI AKHIRAT

858
0

Menjadi umat Islam yang sejati bukan hanya terletak kepada perwatakan dan amal ibadah sahaja, bahkan perkara-perkara fardhu kifayah dan kemanusiaan juga diambil kira. Dek kerana pandemik Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu golongan-golongan yang memerlukan terutamanya golongan yang terjejas dengan kelangsungan hidup semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Sabda Rasulullah SAW:

“Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah, jika ia tidak mampu, hendaklah ia berusaha melakukan sesutu yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan demikian ia dapat bersedekah. Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menolong orang susah yang memerlukan bantuan. Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menyuruh orang lain melakukan kebaikan. Jika tidak mampu, maka hendaklah ia menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap suatu sedekah.” (HR Ahmad).

Oleh itu, umat Islam dianjurkan untuk saling tolong menolong dan memudahkan urusan orang lain. Dengan demikian, Allah akan melepaskan dirinya dari satu kesusahan pada hari kiamat kelak, serta akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Lihat dan peka dengan keadaan sekeliling kita pada hari ini. Di kiri, kanan, hadapan dan belakang kita, siapa golongan yang memerlukan bantuan. Tidak perlu menunggu sehingga bendera putih dinaikkan sebaliknya kita berikhtiar untuk bertanya khabar dan keperluan apa yang diperlukan oleh saudara kita. Bantulah mereka yang memerlukan terutamanya saudara seagama kita. Walaupun terdapat badan sukarelawan atau kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang turut membantu, ia tetap menjadi tanggungjawab kita untuk turut sama meringankan beban mereka. Kalau bukan kita, siapa lagi yang mahu membantu?

Umat Islam yang meringankan beban saudara seagamanya dan sentiasa bantu-membantu atas dasar kemanusiaan adalah umat Islam yang unggul akhlak serta kepribadiannya. Ini kerana Allah SWT sangat mencintai hambaNya yang sentiasa meringankan beban orang lain dan sudah tentu ia dijanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda dan balasan syurga di akhirat kelak. Bukan itu sahaja, bahkan di dunia lagi Allah sudah menjanjikan nikmat bagi umat Islam yang suka membantu orang lain seperti dipermudahkan urusan, dilapangkan keadaanya yang sempit dan ditutupkan aibnya di hari kiamat.

Dari Abu Hurairah ra, Nabi SAW, bersabda: “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya.” (HR Muslim).

Sumber: Harian Metro (23 September 2019)